KUALA SELANGOR: Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) bakal dibentangkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) pada Sidang Parlimen nanti dibimbangi mengancam baki Tanah Rizab Melayu (TRM) yang masih tinggal.
Kini Tanah Rizab Melayu hanya berbaki sekitar 32 peratus sahaja, di mana tanah-tanah itu telah hilang disebabkan tindakan pengambilan oleh Pihak Berkuasa Negeri, tukar status dan kuasa Pihak Berkuasa Negeri.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Burong, Dr Mohd Zamri Mohd Zainuldin berkata, perkara paling dibimbangi adalah risiko hilang hak-hak Melayu dan Bumiputera lain dalam soal pemilikan dan pegangan hartanah di bandar-bandar.
“URA dijangka dibentangkan KPKT pada Sidang Parlimen pada Oktober hingga Disember nanti telah menerima bantahan rasmi PAS. Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-70 telah sebulat suara menolak akta ini.
“Kerana ia akan menyebabkan jarak antara kaum makin melebar, tidak selari dalam membina perpaduan dan interaksi antara kaum,” katanya dalam satu hantaran di laman rasmi Facebooknya sebentar tadi.
Tambah beliau, situasi hanya kaum tertentu sahaja menguasai kehidupan dan perekonomian di bandar, sedangkan Melayu dan Bumiputera lain tertinggal dalam suasana serba kekurangan di desa-desa pendalaman dan di luar bandar.
Bahkan katanya, kebanyakan orang Melayu dan Bumiputera serta kawasan kependudukan mereka terpinggir di dalam pembangunan pesat bandar itu sendiri adalah sesuatu yang tidak wajar berlaku.
“Tanah Rizab Melayu adalah berkisar isu yang menjadi lambang kedaulatan dan ketuanan bangsa Melayu di tanah air ini di mana ia dilindungi dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Perinci Perkara 89 Fasal (6) Perlembagaan jelas menyatakan objektif Enakmen Tanah Rizab Melayu diwujudkan bertujuan menyekat tanah itu daripada dilupuskan dengan apa cara sekalipun kepada orang bukan-Melayu,” katanya.
Tegasnya, Tanah Rizab Melayu yang menyusut menyekat tanah pegangan Melayu atau Rizab Melayu daripada disentuh untuk urusniaga persendirian di antara Melayu dan bukan-Melayu.
Jelasnya, Tanah Rizab Melayu di antaranya adalah tanah Kerajaan, Tanah Hutan Simpan, Tanah Rizab Awam dan Tanah Milik Melayu.
“Yang kebanyakan kita tidak tahu tentang mana-mana kawasan yang telah diisytiharkan sebagai Rizab Melayu hendaklah kekal sebagai Rizab Melayu melainkan ianya diisytiharkan dan diwartakan sebagai batal oleh pihak yang berkenaan,” katanya.
Tegas beliau lagi, tanah adalah lambang kedaulatan, kekuasaan dan pemerintahan di mana tanpa tanah, orang Melayu-Islam akan hilang kuasa seperti mana berlaku kepada rakyat penduduk Palestin apabila mereka menjual tanah-tanah milik mereka kepada pendatang Yahudi.
“Perkara ini sangat perlu untuk kita kesali disebabkan sikap ingin mengaut keuntungan cepat dengan menjual Tanah Rizab Melayu kepada bukan-Melayu yang sangat merugikan atau dalam istilah lain disebut ‘Ali Baba’. Adakah URA akan jadi luka Melayu?
“Kita tidak mahu Akta Pembaharuan Semula Bandar ini akan menambah lagi luka di hati yang menyebabkan kita kehilangan kedaulatan dan menggigit jari menjadi pemerhati kepada pembangunan” kata beliau.
Menurut beliau, menolak Akta Pembaharuan Semula Bandar ini bukan bererti penolakan terhadap pembangunan, tetapi apa yang dituntut ialah setiap pembangunan itu mestilah memelihara hak-hak orang Melayu dan Bumiputera.
“Seperti yang dijamin di dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia, beberapa perkara perlu diberikan perhatian antaranya, tujuan tanah diambil (pasti) melibatkan Akta Tanah, (tetapi perlu) pengekalan Tanah Rizab Melayu (diadakan).
“Terdapat 139 tapak yang berpotensi untuk dibangunkan semula di Semenanjung dengan jangkaan Nilai Pembangunan Kasar sebanyak RM355.3 billion,” katanya merujuk URA dihasratkan untuk mengambil alih kepentingan tersebut.
Beliau dalam kenyataannya turut menggesa KPKT untuk menjamin hak Melayu dan Bumiputera dalam membangunkan tanah ini.
“Fokus sepatutnya oleh KPKT perlu memberikan tumpuan kepada jumlah rumah-rumah yang tidak dapat dijual khususnya kalangan Bumiputera di mana laporan dari Persatuan Pemaju perumahan.
“Terdapat 33 peratus lot Bumiputera tidak terjual walaupun telah siap selama tiga tahun. Tetapi 47 peratus darinya adalah rumah berharga hingga RM700,000, sedang hanya 27 peratus yang nilainya hingga RM500,000,” katanya.
Tambahnya lagi merujuk kepada data sedia ada, 31 peratus dari pemohon pinjaman ditolak, di mana 69 peratus dari responden berdepan cabaran harga yang semakin meningkat disebabkan kenaikan harga bahan binaan.
“Kerajaan sepatutnya memberikan penumpuan bagaimana rumah-rumah yang dibina untuk Bumiputera ini dapat dikekalkan pemilikannya oleh Bumiputera dan tidak jatuh ke tangan kaum lain yang akhirnya menyebabkan polarisasi kaum semakin melebar.
“Penguasaan aset atau hartanah yang tertumpu pada kaum tertentu sahaja. Seperti kata pepatah Melayu, ‘Kalau tidak ada apa-apa masakan tempua bersarang rendah’ dan ‘Menang sorak kampung tergadai’,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/10/2024