KUALA LUMPUR: Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) menyeru umat Islam di seluruh negara untuk menunaikan solat hajat dan munajat khusus bagi mendoakan kesejahteraan umat Islam di Timur Tengah, terutama di Gaza, Lubnan, dan wilayah-wilayah sekitarnya yang kini menghadapi krisis yang semakin meruncing.
Ketuanya, Ustaz Dato’ Ahmad Yahaya menyatakan bahawa tindakan zalim, kejam dan ganas negara haram Israel, yang berlanjutan sejak lebih tujuh dekad, masih gagal dibendung, bahkan mereka semakin tegar menebas belukar laluan ke arah merealisasi cita-cita penubuhan Israel Raya.
“Lebih malang situasi ini berlaku kerana Zionis Israel masih mendapat dukungan penuh sekutunya, walaupun masyarakat dunia sudah mula membuka mata terhadap realiti yang berlaku,” ujar beliau dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut menyeru agar kepimpinan Dewan Ulamak di peringkat negeri dan kawasan mengambil ‘ihtimam’ (memberi perhatian serius) seruan dan gesaan itu serta dapat menganjurkan Solat Hajat beserta munajat di kawasan masing-masing.
“Semoga umat Islam di seluruh belahan dunia Islam khususnya di Gaza dan Timur Tengah dikurniakan kekuatan untuk terus memegang panji Islam sehingga diberikan kemenangan oleh Allah SWT” kata beliau.
Terdahulu, pada 30 September 2024, tentera Israel melancarkan serangan udara di Selatan Lubnan dan memulakan serbuan darat ke beberapa kawasan.
Menurut laporan, serangan itu bertujuan untuk menyasarkan pejuang Hizbullah yang dianggap mengancam keselamatan Israel.
Operasi ketenteraan itu melibatkan penggunaan artileri dan serangan udara, yang meningkatkan kebimbangan terhadap kemungkinan peningkatan konflik di kawasan tersebut.
Lebih mengejutkan, pemimpin Hizbullah, Hassan Nasrallah, dilaporkan terbunuh dalam serangan di Beirut.
Kematian beliau disifatkan sebagai kehilangan besar bagi Hizbullah dan menambah tekanan ke atas kumpulan tersebut dalam menghadapi serangan berterusan dari Israel.
Sebagai balasan terhadap serangan itu, Iran dilaporkan telah melancarkan serangan balistik ke arah Israel, dengan menembak lebih daripada 180 peluru berpandu.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, dilaporkan menegaskan bahawa Iran akan bertanggungjawab atas serangan itu.
Keadaan kemanusiaan di Lubnan juga semakin kritikal, dengan laporan mengenai kematian orang awam dan kerosakan harta benda akibat serangan yang berterusan.
Penduduk Lubnan kini berdepan kesukaran dalam mendapatkan keperluan asas, menjadikan situasi itu semakin membimbangkan. – HARAKAHDAILY 2/10/2024