Serangan Iran: Negara jiran Israel tutup ruang udara

Tangkapan skrin FlightRadar 24 menunjukkan penerbangan di kawasan negara-negara jiran Israel. (FOTO: FlightRadar 24)
- Advertisement -

TEHRAN: Perkhidmatan pengesanan penerbangan, FlightRadar24 memaklumkan bahawa kebanyakan negara jiran Israel telah menutup ruang udara mereka susulan konflik yang semakin memuncak di Timur Tengah, dengan pesawat penerbangan melakukan lencongan selepas Iran melancarkan peluru berpandu balistik ke Israel pada Selasa.

Jurucakap FlightRadar24 berkata, penerbangan telah dilencongkan ke mana sahaja mereka boleh dan gambaran trafik di rantau itu menunjukkan penerbangan telah beralih ke utara dan selatan, dengan kebanyakannya tertumpu di Kaherah dan Istanbul.

- Advertisement -

FlightRadar24 turut memaklumkan bahawa ruang udara Istanbul dan Antalya di selatan Turki menjadi semakin sesak sehingga memaksa beberapa syarikat penerbangan melencong ke selatan, lapor Al Arabiya.

Syarikat penerbangan Flydubai berkata, ia telah membatalkan penerbangan ke Jordan, Iraq, Israel dan Iran pada 2 hingga 3 Oktober ini berikutan penutupan sementara beberapa ruang udara, lapor Reuters pula.

Sementara itu, Eurocontrol yang merupakan sebuah agensi kawalan trafik udara pan-Eropah turut menghantar amaran kepada juruterbang tentang konflik yang semakin meningkat di rantau itu.

“Serangan peluru berpandu yang banyak telah dilancarkan terhadap Israel dalam beberapa minit terakhir. 

“Pada masa ini seluruh negara berada di bawah amaran peluru berpandu,” katanya.

Tidak lama selepas itu, ia mengumumkan penutupan ruang udara Jordan dan Iraq, serta penutupan titik lintasan utama ke ruang udara yang dikawal oleh Cyprus.

Iran pada malam tadi, Selasa (1 Oktober) telah melancarkan serangan peluru berpandu balistik ke Israel sebagai tindakan balas berikutan serangan Zionis Israel terhadap sekutu mereka, Hizbullah di Lubnan, yang mana negara haram itu kemudian mengugut untuk melaksanakan ‘tindak balas yang menyakitkan’ terhadap Iran dan rantau Asia Barat. -Agensi/ – HARAKAHDAILY 2/10/2024

- Advertisement -