SEMENANJUNG GAZA: Pejuang Islam Palestin di Semenanjung Gaza, Hamas memuji apa yang disebutnya sebagai serangan peluru berpandu ‘heroik’ Iran – Operasi Janji Benar II pada malam Selasa yang membalas dendam atas kematian Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh; Setiausaha Agung Hizbullah, Sayyed Hassan Nasrallah; dan Brigedier Jeneral Iran, Abbas Nilforoushan.
“Kami mengucapkan tahniah kepada pelancaran roket ‘kepahlawanan’ yang dilakukan oleh Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) di Iran, di kawasan yang luas di wilayah Semenanjung Gaza yang telah dirampas Zionis Israel.
“Sebagai tindak balas terhadap jenayah pendudukan yang berterusan terhadap penduduk di rantau ini dan sebagai membalas dendam terhadap darah para syahid heroik negara kita,” kata Hamas menerusi satu kenyataan.
Iran pada malam tadi telah melancarkan peluru-peluru berpandu balistik ke Israel sebagai tindakan balas kempen Israel terhadap sekutunya, Hizbullah di Lubnan, di mana Israel berikrar untuk melakukan ‘tindak balas yang menyakitkan’ terhadap musuhnya.
Iran turut berikrar untuk membalas serangan Israel yang membunuh kepimpinan tertinggi kumpulan pejuang Hizbullah di Lubnan, termasuk Setiausaha Agungnya, Hassan Nasrallah, seorang tokoh dalam rangkaian pejuang Iran di rantau Timur Tengah.
Dalam satu kenyataan, IRGC berkata serangan itu juga sebagai tindak balas terhadap pembunuhan Israel pada Julai lalu terhadap Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh di Tehran.
Kejayaan Operasi Janji Benar II Iran itu telah diraikan di jalan-jalan raya oleh penduduk di Iran, Iraq, Semenanjung Gaza, Yaman dan Syria. -Agensi/– HARAKAHDAILY 2/10/2024