KUALA TERENGGANU: “Mungkin kita tidak tahu sekuat mana atlet SUKMA Dungun telah berjuang demi lencana di dada,” kata Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Ramli.
Sehubungan itu, ujarnya tidak kira apa pun keputusannya, sewajarnya dihargai usaha dan semangat juang mereka.
Beliau menyatakan demikian susulan merasmikan majlis meraikan Atlet SUKMA Daerah Dungun yang diadakan di Ombak Beach Inn Resort, Dungun, petang kelmarin.
Turut hadir pada majlis itu ialah ADUN Rantau Abang merangkap Timbalan Pengerusi Jawatankuasa. Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli, mantan ADUN Rantau Abang, Cikgu Alias Harun dan Pegawai Pejabat Menteri Besar Terengganu, Ustaz Azman Shapawi Abd Rani.
“Alhamdulillah kita mempunyai seramai 30 orang atlet SUKMA yang berasal dari anak jati Dungun,” ujarnya pada satu hantaran di laman Facebooknya.
Menurutnya, 10 orang daripada atlet-atlet telah membawa pulang pingat, bahkan ada dalam kalangan mereka yang memperoleh dua pingat.
Sehubungan itu, beliau mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua atlet Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 kerana telah berjuang habis-habisan dalam menjulang nama negeri Terengganu.
Wan Hassan berharap semoga pada SUKMA 2026 yang akan berlangsung di Selangor nanti dapat meningkatkan lagi prestasi para atlet negeri.
Pada SUKMA 2024 yang berlangsung di Sarawak pada 17 hingga 24 Ogos lalu, pasukan Terengganu menduduki tempat kelima dengan memungut 41 pingat emas, 36 perak dan 47 gangsa. – HARAKAHDAILY 2/10/2024