Pengagihan hasil negara haruslah seimbang – Dr Samsuri

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri Terengganu berharap kerajaan pusat mengambil perhatian serius terhadap isu keadilan dalam pengagihan hasil negara, khususnya kepada rakyat dan negeri-negeri yang memerlukan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pengagihan yang seimbang penting untuk menangani kesenjangan pembangunan di antara negeri-negeri.

“Kita berharap lihatlah yang sebenarnya apa yang berlaku di dalam negara kita kepada rakyat, negeri.

“Pengagihan hasil negara haruslah seimbang, negeri-negeri yang memerlukan hasil yang lebih akibat daripada jurang atau ketidakseimbangan pembangunan yang ada haruslah diberikan keutamaan sebagaimana keutamaan yang diberi dalam rancangan Malaysia,” katanya.

- Advertisement -

Samsuri berkata demikian ketika ditanya mengenai harapan beliau terhadap Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada 18 Oktober ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kemaman berharap tiada tindakan drastik yang diambil khususnya pengenalan cukai baru yang berpotensi membebankan rakyat.

“Jadi itu saya rasa antara yang sangat penting sebab suasana di bawah (rakyat) sekarang ini dengan tekanan kos sara hidup dan sebagainya ia akan memberikan kesan yang lebih berat lagi kepada rakyat,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup Seminar Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Terengganu di sebuah dewan di Majlis Bandaraya Kuala Terengganu di sini, hari ini.

Mengulas mengenai pembahagian peruntukan kepada negeri, beliau berkata, semua negeri sama ada dari pihak pembangkang mahupun kerajaan, merupakan komponen penting dalam persekutuan Malaysia.

“Hasil kerja buat negeri dari segi perkhidmatan dan sebagainya turut menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

“Jadi kalau ada negeri yang tidak mendapat keadilan yang sewajarnya maka tentunya ianya akan memberi kesan kepada KDNK dan pencapaian negara kita.

“Jadi tentulah isu ini haruslah diselesaikan, politik, politik juga tetapi selama mana kita ingin berpolitik yang boleh menyebabkan negeri-negeri yang tertentu dalam negara kita ini dinafikan hak mereka,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/10/2024

- Advertisement -