KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, menegaskan bahawa pendidikan harus dilihat sebagai pelaburan jangka panjang negara dan bukannya bebanan kepada kerajaan.
Menurut beliau, isu pendidikan tidak sepatutnya dikaitkan semata-mata dengan sumbangan kerajaan kerana ia merupakan tanggungjawab yang mesti dipikul oleh setiap kerajaan di seluruh dunia.
Tuan Ibrahim menekankan bahawa kerajaan perlu melihat pemberian dana pendidikan kepada semua rakyat, sama ada kaya atau miskin, dari sudut yang lebih luas.
Menurutnya, golongan kaya juga menyumbang kepada pendapatan negara melalui pembayaran cukai dan zakat yang besar, dan oleh itu sumbangan mereka perlu diimbangi dengan faedah yang diterima.
“Mengukur pendidikan dengan nilai wang ringgit adalah sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku. Tidak hairan, terdapat golongan miskin yang menghantar anak mereka ke institusi pendidikan yang terbaik sama ada dalam negara atau luar negara walaupun mereka terpaksa mengerah keringat untuk membayar yuran yang mahal.
“Ini semua tidak lain dan tidak bukan demi masa depan anak-anak mereka,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, Kerajaan PH-BN dilaporkan media tempatan mencadangkan untuk menghentikan subsidi pendidikan kepada golongan kaya dalam usaha mengurangkan ketirisan dan memastikan bantuan diberikan kepada mereka yang lebih memerlukan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyatakan bahawa langkah itu akan membolehkan kerajaan menyalurkan lebih banyak dana kepada golongan miskin, terutamanya melalui sekolah-sekolah seperti Sekolah Menengah Sains yang menerima bantuan subsidi yang tinggi.
Anwar menegaskan bahawa keutamaan subsidi harus diberikan kepada golongan yang benar-benar memerlukan sokongan pendidikan, bukan kepada anak-anak golongan elit yang mampu menanggung kos pendidikan sendiri.
Walau bagaimanapun Tuan Ibrahim menyuarakan kebimbangan terhadap cadangan kerajaan untuk mengenakan yuran pendidikan yang lebih tinggi kepada anak-anak daripada keluarga berpendapatan tinggi, dengan alasan mereka mampu membayar.
Katanya, kerajaan perlu menimbang semula langkah tersebut kerana rakyat kaya juga telah menyumbang besar melalui cukai dan zakat, sesuai dengan peribahasa Melayu, ‘besar periuk, besarlah keraknya’.
“Saya tidak bermaksud ingin menyebelahi golongan kaya dan menidakkan usaha membantu golongan miskin, kerana kedua-duanya adalah rakyat yang perlu disantuni kerajaan,” ujar beliau.
Tuan Ibrahim menyarankan agar kerajaan mencari pendekatan kreatif dalam menyediakan sistem pendidikan yang lebih mampu diakses, sama ada murah atau percuma, dengan merujuk kepada model universiti yang dibiayai melalui sistem waqaf seperti Universiti Al-Azhar di Mesir.
Menurut beliau, melalui sistem itu, pelajar miskin boleh dibiayai melalui biasiswa atau pengecualian yuran pengajian.
Lebih membimbangkan, katanya, adalah peningkatan jumlah pelajar lepasan SPM yang memilih untuk tidak melanjutkan pelajaran ke universiti dan sebaliknya memasuki sektor ekonomi gig atau perkilangan.
Situasi itu, menurut beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian, boleh menyebabkan negara kehilangan tenaga kerja mahir pada masa depan.
Oleh itu, beliau menegaskan bahawa kerajaan perlu terus memberi galakan serta bantuan kepada pelajar cemerlang tanpa mengira latar belakang ekonomi keluarga mereka demi memastikan kelangsungan tenaga kerja berkemahiran tinggi di masa hadapan. – HARAKAHDAILY 2/10/2024