GERIK: Jabatan Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) negeri Perak merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarhamah Mualliamah Nooraini Abd. Ghani.
Jabatan PASTI negeri Perak dalam satu kenyataan berkata, Mualliamah Nooraini adalah salah seorang guru PASTI Al-Islah di Kampung Kuak Hulu dari kawasan Gerik.
“Pagi ini khabar duka diterima bahawa Mualliamah Nooraini telah dipanggil menghadap Ilahi sebelum subuh 2 Oktober 2024.
“Allahyarhamah telah mula berkhidmat bersama PASTI pada tahun 2006. Beliau juga merupakan antara guru yang telah banyak menyumbangkan jasa dan bakti dalam membangunkan generasi anak-anak PASTI.
“Allahyarhamah Nooraini bersama suaminya, Haji Wan Abdullah Ismail pernah menerima Anugerah terbaik Pengurus PASTI Cawangan Paling Lama Berkhidmat di PASTI Perak pada 2022,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.
“Semoga segala kebaikan yang telah dicurahkan menjadi saham pahala dan saksi buat Allahyarhamah serta ditempatkan sebaik-baik tempat di sisi Allah SWT,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/10/2024