KOTA KINABALU: Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Parlimen kini mengambil pendekatan menjemput PAC Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam lawatan kerja jawatankuasa itu di negeri sesuatu projek dilaksanakan.
Pengerusinya, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin berkata, ia adalah bagi projek-projek yang membabitkan jabatan kerajaan di peringkat negeri, tetapi mendapat peruntukan daripada Kerajaan Pusat.
“Pendekatan ini akan dapat mengeratkan kerjasama antara PAC Parlimen dan PAC Negeri-negeri yang sememangnya mempunyai punca kuasa sama iaitu untuk memantau segala perbelanjaan dan kewangan kerajaan sama ada di peringkat Persekutuan atau Negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di laman Facebook rasminya sebentar tadi sewaktu mengadakan lawatan ke beberapa lokasi berkaitan sekitar Sabah bermula sejak dua hari lepas.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah itu berkata, PAC Parlimen buat pertama kali mengadakan lawatan kerja ke Sandakan dan Tawau bagi prosiding isu Pengurusan Air Negara.
Projek tersebut di bawah Kementerian Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air (PETRA) dan Bekalan Air Luar Bandar Sabah dan Sarawak di bawah Kementerian Kemajuan Desa Dan Wilayah (KKDW).
“PAC mengambil tindakan proaktif untuk mengadakan lawatan kerja ini bagi melihat sendiri permasalahan yang dihadapi Kementerian atau Jabatan Kerajaan dalam melaksanakan projek-projek untuk rakyat.
“Melalui pendekatan ini juga, PAC Parlimen akan dapat menilai sendiri sama ada projek yang dilaksanakan Kementerian atau Jabatan Kerajaan benar-benar memberikan manfaat kepada rakyat dan pelaksanaannya dinikmati oleh rakyat,” katanya.
Tambah beliau, sempena lawatan kerja PAC Parlimen ke Sabah, jawatankuasa itu akan turut mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor dan Speaker DUN Sabah, Datuk Seri Panglima Kadzim M.Yahya dan serta PAC DUN Sabah.
“PAC Parlimen akan berkongsi pandangan hasil daripada lawatan kerja dengan YAB Ketua Menteri dalam memastikan projek-projek yang dilaksanakan benar-benar memberikan manfaat kepada rakyat,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/10/2024