Nushi rasmikan Projek West Lake Universiti Nottingham Kampus Semenyih 

Nushi (tujuh dari kanan) bersama barisan pihak pengurusan tertinggi University of Nottingham dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Taman Tasik Semenyih, Selangor.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih telah berkolaborasi bersama Naib Canselor Universiti Nottingham, Prof. West menubuhkan Projek West Lake Universiti Nottingham Kampus Semenyih.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih, Nushi Mahfodz berkata, West Lake pada asalnya adalah kawasan takungan banjir yang telah menjejaskan kawasan universiti dan rumah-rumah penduduk di sekitar Taman Tasik Semenyih, terutamanya pada musim monsun.  

- Advertisement -

Beliau berkata, setelah kerap terjadi takungan banjir menyebabkan pihak universiti mengambil inisiatif mencari penyelesaian yang lebih lestari.

“Melalui sinergi antara barisan ahli akademik, agensi dan masyarakat, Universiti Nottingham berkolaborasi dengan pelbagai pemegang taruh untuk menukarkan kawasan banjir ini menjadi tasik rekreasi.

“Tasik ini bukan sahaja terletak di bahagian barat kampus, tetapi juga dinamakan sebagai  ‘West Lake’ sempena nama Prof. West yang bakal menamatkan tempoh perkhidmatannya dalam beberapa bulan lagi,” katanya menerusi perkongsian di laman sosial Facebook, hari ini. 

Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis pelancaran Projek West Lake Universiti Nottingham Kampus Semenyih pada Selasa.

Tambah Nushi, perkara ini bukan hanya membantu menyelesaikan masalah banjir, malah turut memberi manfaat besar kepada komuniti setempat melalui peningkatan kawasan rekreasi yang menarik dan mesra alam.

“Inisiatif ini selaras dengan teras #SepakatSemenyih yang menekankan pentingnya kerjasama erat antara pelbagai pihak dalam usaha mewujudkan kesejahteraan bersama,” ujarnya.

Turut hadir meraikan kolaborasi ini adalah pihak pengurusan tertinggi University of Nottingham; Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan penduduk yang tinggal di sekitar Taman Tasik Semenyih.

“Diharapkan projek ini dapat memberi manfaat jangka panjang kepada penduduk Semenyih dan masyarakat sekelilingnya,,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/10/2024

- Advertisement -