KUALA TERENGGANU: Wan Hassan Mohd Ramli menyifatkan Hospital Dungun yang baharu yang beroperasi sepenuhnya adalah khabar gembira buat warga Dungun dan kawasan sekitar.
“Alhamdulillah, setelah menunggu lama sekitar lapan tahun, hospital ini akhirnya siap dan dapat digunakan seperti biasa pada 1 Oktober,” ujar Ahli Parlimen Dungun itu menerusi hantaran di laman sosialnya, hari ini.
Menurutnya, Hospital Dungun yang dibina pada 2016 itu mengalami penangguhan untuk siap sebanyak tujuh kali daripada tarikh asal siap iaitu 2019.
Katanya, penangguhan disebabkan beberapa faktor termasuk tidak menepati spesifikasi Kementerian Kesihatan Malaysia, perubahan pada reka bentuk terpaksa dilakukan bagi membolehkan ia beroperasi.
Beliau berkata, dengan adanya hospital pakar yang dilengkapi peralatan moden dan canggih, rakyat Terengganu tidak perlu lagi mendapatkan rawatan pakar di luar, sekali gus mengurangkan kesesakan di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu dan hospital pakar yang lain.
Tambahnya, hospital baharu itu menyediakan sekurang-kurangnya 10 kepakaran antaranya kecemasan, perubatan, pediatrik, obstetrik dan ginekologi, anestesiologi, ortopedik, psikiatri, pergigian dan patologi.
Hospital yang dibangunkan dengan kos keseluruhan berjumlah RM153 juta itu disiapkan pada 25 Jun lalu.
Pembinaan hospital baharu itu bertujuan menaik taraf Hospital Dungun sedia ada daripada Hospital Tanpa Pakar kepada Hospital Pakar Minor.
Wan Hassan pernah membangkitkan mengenai Hospital Dungun beberapa kali pada persidangan Dewan Rakyat, sebelum ini. – HARAKAHDAILY 2/10/2024