KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan menyumbang sebanyak RM100,000 bagi membantu mangsa-mangsa banjir di Kedah.
Timbalan Menteri Besar, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, sumbangan itu disalur melalui kerajaan negeri Kedah bagi membantu mangsa banjir di negeri terbabit.
“Kelantan menyumbang sebanyak RM100,000 kepada mangsa-mangsa banjir di Kedah,” katanya kepada media selepas mesyuarat Exco di Mabna MBI, hari ini.
Turut hadir, Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita, Rohani Ibrahim.
Media melaporkan keadaan banjir di Kedah semakin pulih apabila hanya dua pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Kota Setar beroperasi.
Menurut Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) PPS di daerah Kota Setar mencatatkan bilangan mangsa seramai 107 orang daripada 31 keluarga.
Manakala sembilan PPS di Baling, Pokok Sena dan Kota Setar ditutup sepenuhnya hari ini.
Dr Mohamed Fadzli juga berkata, kerajaan Kelantan bersimpati dengan penduduk yang terbabit dengan banjir di Kedah. – HARAKAHDAILY 2/10/2024