TEHRAN: Iran berikrar akan menyerang infrastruktur di seluruh Israel jika negaranya diserang, selepas Republik Islam itu melancarkan kira-kira 200 peluru berpandu balistik ke arah negara haram itu – serangan yang menyaksikan Israel mengugut untuk membuat Iran ‘menerima akibatnya’.
Ketua Turus Angkatan Tentera Iran, Mejar Jeneral Mohammad Bagheri menerusi siaran televisyen negara itu berkata, serangan itu akan berulang dengan intensiti yang lebih besar dan semua infrastruktur rejim akan menjadi sasaran, lapor Al Arabiya.
Media Iran menyiarkan rakaman dalam talian mengenai apa yang dikatakan oleh Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) Iran sebagai Operasi Janji Benar II yang telah menyasarkan tiga pangkalan tentera di sekitar Tel Aviv dan pangkalan lain termasuk di Baitulmaqdis
IRGC berkata, 90 peratus daripada kesemua peluru berpandu balistik yang dilancarkan oleh mereka telah mengenai sasaran di Israel pada lewat Selasa, dengan tentera Israel mendakwa Iran telah melancarkan sekitar 180 peluru berpandu ke wilayahnya, di mana kebanyakannya didakwa telah berjaya dipintas.
Pada Jun 2023, Iran telah memperkenalkan peluru berpandu balistik jarak pertengahan yang mampu bergerak pada kelajuan hipersonik sehingga 15 kali ganda kelajuan bunyi.
Presiden Iran ketika itu, Ebrahim Raisi berkata, senjata itu akan meningkatkan kuasa pencegahan Iran dan membawa keamanan dan kestabilan kepada negara-negara di rantau Timur Tengah.
Tidak seperti peluru berpandu balistik konvensional, peluru berpandu hipersonik terbang pada trajektori rendah di atmosfera, membolehkannya mencapai sasaran dengan lebih cepat dan dengan peluang yang lebih kecil untuk dipintas oleh sistem pertahanan udara moden.
Terdahulu, susulan serangan terbaharu Iran itu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata Iran telah membuat kesilapan besar dengan tembakan peluru berpandunya, yang sebelum ini menyaksikan Zionis Israel bertindak membunuh Setiausaha Agung Hizbullah, Hassan Nasrallah melalui serangan udara di Beirut, Lubnan pada minggu lalu. -Agensi/– HARAKAHDAILY 2/10/2024