DAP samakan Umno dengan pesakit kencing manis?

Roslan Shahir mengimbau semla kata-kata Mohamad Hasan yang pernah menasihatkan ahli-ahli politik supaya menjaga adab dan tidak membiarkan diri dihina.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Yang Dipertua PAS Kawasan Subang, Roslan Shahir Mohd Shahir menyifatkan Umno telah diremeh dan dikecam oleh rakan-rakannya sendiri dalam kerajaan.

Beliau berkata, perkara tersebut dapat dilihat dari tindakan Timbalan Ketua Penerangan PKR, Razeef Rakimin yang telah memberi amaran kepada Umno supaya tidak terlalu angkuh dengan kemenangan di PRK Mahkota.

- Advertisement -

“Malah, Razeef bersama amarannya itu turut menyatakan bahawa kemenangan Umno dalam PRK Mahkota baru-baru ini adalah atas sumbangan besar daripada Pakatan Harapan,” katanya dalam satu kenyataan.

Bahkan, ujar beliau lagi, DAP juga bertindak menumpang untuk ‘memukul’ Umno apabila hli Jawatankuasa DAP Johor, Dr Boo Cheng Hau memberi reaksi balas yang mengecam kenyataan Ahli Majlis Tertinggi Umno itu.

“Teruk Umno dijolok dan ditunjal oleh rakan-rakannya sendiri dalam kerajaan. 

“Sebentar tadi, DAP pula tumpang tunjal,” kata Roslan dalam reaksinya terhadap kenyataan Cheng Hau.

Dalam kenyataannya sebelum ini, Cheng Hau menyamakan Umno seumpama  seorang pesakit kencing manis yang sepatutnya berterima kasih kepada PH kerana menyelamatkan parti itu – yang didakwanua umpama doktor pakar bedah yang berjaya melakukan amputasi untuk mengelakkan kerosakan lebih besar.

“Pesakit kencing manis tenat iaitu BN-Umno sepatutnya berterima kasih kepada PH, pakar bedah yang menyelamatkan nyawanya,” ujar Cheng Hau. 

Tambah  Cheng Hau, salah urus ekonomi dan rasuah ketika di bawah pemerintahan Barisan Nasional-Umno telah merosakkan negara, dan PH di bawah pimpinan Anwar Ibrahim melakukan reformasi berani yang menyelamatkan Umno dan negara daripada kemusnahan.

Sehubungan itu, Roslan menyifatkan kenyataan Cheng Hau berkenaan sebagai’ satu penghinaan yang keterlaluan’ terhadap Umno. 

Menurutnya, pada ketika Umno sepatutnya meraikan kemenangan mereka di PRK Mahkota, rakan-rakan dalam kerajaan campuran sebaliknya memilih untuk memperlekeh dan menghina parti itu.

“Teruk sangat penghinaan terhadap Umno ini. 

“Sepatutnya PH-BN gembira meraikan kemenangan Umno di Mahkota, sebaliknya masing-masing memilih menghina dan memperkecilkan parti Melayu itu,” tegas Roslan.

Beliau juga turut menyeru ahli-ahli Umno agar bangkit mempertahankan maruah parti mereka. 

“Takkanlah sedia diperlekeh dan diperkata begitu, bukan oleh musuh tetapi oleh rakan bersekutu sendiri. 

“Bangkitlah sahabat, takkan diam bila kepala ditunjal-tunjal,” katanya.

Roslan juga mengingatkan ahli politik agar menjaga akhlak dalam perhubungan politik, sambil mengimbau kata-kata Timbalan Presiden Umno, Dato’ Seri Utama Mohamad Hasan (Tok Mat), yang pernah menasihatkan ahli-ahli politik supaya menjaga adab dan tidak membiarkan diri dihina. – HARAKAHDAILY 2/10/2024

- Advertisement -