Banduan hasilkan produk sendiri melalui projek tani

Dr Athifah menerangkan berkaitan projek berkenaan kepada Razali Saad
- Advertisement -

PADANG BESAR: Projek pertanian yang dijalankan di Pusat Koreksional Perlis, Guar Nangka, di sini diharap dapat memberi impak positif kepada komuniti dan peluang baharu kepada para banduan.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri, Razali Saad telah mengadakan lawatan ke pusat tersebut bagi meninjau kemajuan projek pertanian yang menjadi sebahagian daripada program pemulihan banduan, semalam.

“Alhamdulillah saya lihat pelbagai inisiatif dilakukan dan insyaAllah projek ini dijangka membawa manfaat jangka panjang, bukan sahaja kepada banduan tetapi juga kepada komuniti tempatan melalui produk yang dihasilkan dan kemahiran yang dipelajari,” jelasnya ketika dihubungi hari ini.

Lawatan itu turut dihadiri Pengarah Urusan Athanliz Innovations Sdn Bhd, Dr Athifah Najwani Shahidan yang menjalinkan kerjasama antara syarikatnya dan Pusat Koreksional Negeri Perlis.

Projek dijalankan termasuk penanaman halia dari spesis Halia Bara dan Halia Bentong yang baru dimulakan dua bulan lalu di mana menurut Dr Athifah, sebanyak 200 kilogram benih halia disumbangkan, dengan kini menghasilkan sekitar 1,500 anak pokok.

“Hasil tanaman halia ini akan dimanfaatkan untuk menghasilkan produk berasaskan halia di bawah jenama ‘Halia di Penjara’, yang akan menjadi produk penjanaan pendapatan Pusat Koreksional Negeri Perlis” jelas Dr Athifah.

Projek tersebut melibatkan enam banduan yang dijangka menamatkan hukuman dalam tempoh kurang dari tiga tahun di mana selain memberi manfaat ekonomi, projek ini juga melatih banduan dengan kemahiran pertanian berguna.

Projek komuniti ini turut mendapat sokongan geran daripada All Parliamentary Parties Group Malaysia (APPGM) yang bertujuan membina kebun bagi manfaat komuniti setempat di Perlis.

Athanliz Innovations Sdn Bhd bertanggungjawab menguruskan dana ini di dua lokasi berbeza iaitu di belakanb Jabatan Pertanian Bukit Temiang melibatkan empat penerima manfaat iaitu dua penganggur asnaf dan dua individu kurang upaya (OKU)

Di situ, antara tanaman yang ditanam ialah terung, petola, serai, dan ulam, manakala lokasi kedua adalah di penjara ini, di mana tanaman halia diusahakan oleh banduan.

“Aktiviti ini bukan sahaja memberikan peluang kepada mereka untuk belajar kemahiran bercucuk tanam, tetapi juga membantu mereka menyediakan diri untuk kembali ke masyarakat dalam keadaan yang bersedia dan mempunyai sumber pendapatan melalui perniagaan,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 2/10/2024

- Advertisement -