BEIRUT: Tentera Zionis Israel telah melancarkan apa yang dilabelkan sebagai serangan darat ‘terhad, setempat’ di selatan Lubnan terhadap kumpulan pejuang Islam Lubnan, Hizbullah, serentak dengan pengunduran tentera Lubnan dari beberapa pusat pemeriksaan di sempadan selatan negara itu dengan Israel.
“Sasaran ini terletak di kampung berhampiran sempadan dan menimbulkan ancaman segera kepada masyarakat Israel di utara Israel,” kata tentera Israel dalam satu kenyataan di media sosial pada lewat Isnin, lapor NPR.
Ia berkata bahawa tentera udara dan artileri Israel ‘menyokong tentera darat dengan serangan tepat ke atas sasaran tentera di kawasan itu’.
Terdahulu pada hari itu, Timbalan Ketua Hizbullah, Naim Kassem berkata, dalam ucapan yang disiarkan di televisyen bahawa ‘pasukan penentangan Hizbullah bersedia untuk penglibatan (perang) darat (dengan Israel)’.
Itu berlaku walaupun beberapa siri serangan Israel yang dahsyat ke atas pemimpin dan anggota Hizbullah dalam beberapa minggu kebelakangan ini melalui udara.
Sementara itu, tentera Lubnan telah berundur dari beberapa pusat pemeriksaan di sempadan selatan dengan Israel di tengah-tengah tembakan artileri yang sengit oleh tentera Israel.
Seorang pegawai tentera Lubnan, yang meminta untuk tidak dikenali kerana dia tidak diberi kuasa untuk bercakap secara terbuka, memberitahu NPR,langkah tersebut adalah susulan ‘penempatan semula’ dari kedudukan hadapan yang terdedah kepada pencerobohan Israel.
Seorang lagi pegawai di Timur Tengah, yang tidak mahu namanya disiarkan kerana sensitiviti operasi itu, memberitahu NPR awal hari berkenaan bahawa Israel telah melakukan serbuan pengumpulan risikan ringkas di selatan Lubnan ketika ia bersedia untuk serangan darat ‘terhad, setempat’.
Serangan itu menyusul selepas beberapa hari pertempuran yang semakin sengit antara Israel dan Hizbullah.
Terdahulu menurut Kementerian Kesihatan Lubnan, serangan Israel di seluruh Lubnan telah membunuh lebih 1,000 nyawa dalam masa kurang dua minggu dan memaksa ramai penduduk untuk meninggalkan rumah mereka.
Serangan Zionis yang telah menyasarkan Hizbullah itu bukan sahaja telah mengorbankan Setiausaha Agung dan Ketua Hizbullah, Hassan Nasrallah dan beberapa pegawai tingginya, tetapi juga menyebabkan ramai orang awam turut terkorban. – Agensi/– HARAKAHDAILY 1/10/2024