ANCHORAGE: Pegawai tentera Amerika Syarikat mengeluarkan video baharu mengenai ‘pertembungan’ antara pesawat pejuang Rusia yang terbang berhampiran Alaska dengan pesawat pejuang F-16 Amerika Syarikat (AS) yang dihantar untuk memintas pesawat itu.
Dalam video yang dikeluarkan pada Isnin, pesawat pejuang Rusia jenis Su-35 itu dilihat muncul dari belakang kamera dan menghampiri pesawat pejuang AS, sebelum membelok dengan tajam hanya beberapa kaki dari pesawat berkenaan, lapor Arab News.
Insiden itu dilaporkan berlaku pada 23 September lalu, dengan juruterbang AS di bawah arahan Komando Pertahanan Aeroangkasa Amerika Utara (NORAD) itu ditugaskan untuk memintas pesawat itu selepas beberapa siri pencerobohan Rusia ke dalam Zon Pengenalan Pertahanan Udara Alaska, tidak jauh dari luar ruang udara AS.
“Kelakuan Su-35 Rusia adalah tidak selamat, tidak profesional, dan membahayakan semua, bukan seperti yang anda lihat dalam tentera udara profesional,” kata Komander NORAD, Jeneral Gregory Guillot.
Sementara itu, Senator Alaska merangkap Ahli Republikan di dalam Jawatankuasa Perkhidmatan Bersenjata Senat AS, Dan Sullivan berkata insiden itu adalah satu lagi sebab untuk membina kehadiran tentera Amerika Syarikat di Alaska dan Artik.
“Gerakan juruterbang Rusia yang melulu dan tidak profesional, hanya dalam jarak beberapa kaki dari tentera kami yang berpangkalan di Alaska meletakkan nyawa Tentera Udara kami dalam bahaya dan menekankan pencerobohan yang semakin meningkat, yang kami saksikan daripada diktator seperti Vladimir Putin,” katanya.
Pertembungan antara pesawat pejuang itu berlaku hanya beberapa minggu selepas lapan pesawat tentera Rusia dan empat kapal tentera lautnya, termasuk dua kapal selam, menghampiri Alaska ketika China dan Rusia menjalankan latihan bersama.
Tiada pesawat yang melanggar ruang udara AS dalam latihan itu. Namun, kira-kira 130 askar AS dihantar bersama pelancar roket mudah alih ke Pulau Shemya, kira-kira 1,931 kilometer di barat daya Anchorage. – Agensi/– HARAKAHDAILY 1/10/2024