KUALA LUMPUR: Isu Ahli Parlimen Seputeh yang membantah cadangan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) berkenaan sijil halal mandatori menunjukkan keperluan untuk mengimbangi antara kehendak peniaga dan sensitiviti agama majoriti penduduk Malaysia.
QgenAnalysts dalam kenyataannya berkata, walaupun tindakan Ahli Parlimen Seputeh atau pemimpin DAP itu mungkin bertujuan untuk meringankan beban perniagaan, ia dilihat oleh ramai pihak sebagai kurang memahami kepentingan agama Islam bagi majoriti masyarakat di Malaysia.
“Keputusan Jemaah Menteri untuk menolak cadangan tersebut menggambarkan keperluan untuk lebih berhati-hati dalam menilai dasar yang melibatkan sentimen agama.
“Dalam konteks ini, adalah penting bagi semua pihak untuk mengambil kira sensitiviti golongan majoriti sambil memastikan keseimbangan dalam menyokong perniagaan.
“Media sosial pula terus menjadi cermin utama yang memaparkan bagaimana golongan majoriti merasa terpinggir dalam isu-isu berkaitan agama,” ujar kenyataan badan itu.
Terdahulu, kenyataan Ahli Parlimen Seputeh itu disanggah oleh pelbagai pihak, sama ada dari pihak kerajaan mahupun pembangkang, serta orang awam.
Perdana Menteri juga dilaporkan berkata bahawa kenyataan Ahli Parlimen Seputeh itu adalah tidak wajar dan menambah kekeliruan.
Pada 18 September 2024, Jemaah Menteri memutuskan untuk mengekalkan dasar sedia ada, sekali gus menolak cadangan JAKIM supaya restoran yang tidak menghidangkan babi dan alkohol wajib mendapatkan sijil halal.
Pada 22 September, DAP meminta Ketua Pemuda Umno untuk memohon maaf susulan bantahan beliau terhadap kenyataan Seputeh.
QgenAnalysts berkata, walaupun Presiden Umno menyatakan bahawa isu antara Ketua Pemuda Umno dan Ahli Parlimen Seputeh telah reda, perbincangan serta tindakan mahkamah oleh Ahli Parlimen Seputeh terhadap Ketua Pemuda Umno berkenaan masih berterusan.
Menurutnya, DAP walau bagaimanapun terus mendesak Ketua Pemuda Umno itu untuk meminta maaf.
Sehubungan itu, QgenAnalysts berkata, hasil dapatan kecerdasan buatan (AI) menunjukkan reaksi yang bercampur, yang mana kebanyakan respon diterima dari Facebook iaitu sebanyak 65 peratus reaksi adalah negatif terhadap Pakatan Harapan (PH) – Barisan Nasional (BN).
“Di mana netizen (di Facebook) merasakan kenyataan Ahli Parlimen Seputeh sebagai menghina agama Islam dan ‘lakonan’ kerajaan untuk meraih undi.
“Di TikTok pula, 40 peratus reaksi adalah negatif terhadap PH-BN, apabila netizen merasakan gabungan PH-BN hanya tunduk kepada DAP dan tiada tindakan susulan diambil kerana menyentuh isu 3R (agama, bangsa dan raja).
“Di X, pula, 70 peratus reaksi adalah negatif terhadap Dr. Akmal Saleh, Ketua Pemuda Umno. Netizen di X menyokong kenyataan Seputeh dan mahu tindakan saman di mahkamah diteruskan,” kata badan itu. – HARAKAHDAILY 1/10/2024