TUMPAT: Kelantan mencipta rekod baru dalam Malaysia Book of Records apabila berjaya menghasilkan tulisan tiga juta kalimah Allah sepanjang 310.5 meter berbanding rekod kedua tahun lepas 177 meter.
Tulisan berkenaan berjaya dihasilkan oleh warga Sekolah Menengah Ugama (Arab) Bustanus Saadah, Morak dekat sini dengan kekuatan 300 peserta.
Daripada jumlah itu, 200 orang daripadanya adalah pelajar SMU (A) Bustanus Saadah dan selebihnya jemaah Masjid An Nur Kota Kubang Labu.
Exco Kerajaan Negeri, Dato’ Ustaz Wan Roslan Wan Hamat ketika memberitahu media selepas majlis itu berkata, program berkenaan dianjurkan bersama Zam Zam D Berkat Enterprise.
Beliau berkata, untuk menjayakan majlis ini, penganjur turut menerima tajaan beberapa pihak termasuk sumbangan terbesar daripada Nims Adeliciousz, Nasi Berlauk Kak Chik dan lain-lain penyumbang.
“Peserta mengambil masa lapan hari untuk menyiapkan tulisan kalimah ALLAH di atas kertas bermutu tinggi yang diimport dari Itali selain cat digunakan dengan campuran air zam-zam,” katanya pada media selepas majlis berkenaan.
Sempena majlis itu juga Mudir sekolah berkenaan Wan Fakhrulrazi Wan Mahmod telah menerima sijil dari Malaysia Book of Records yang disampaikan oleh wakil mereka, Mohd Nasril Hafizi Ahmad Fauzi.
Terdahulu seorang lagi wakil Malaysia Book of Record, Siti Nuhanim Mohd Noh, terlebih dahulu mengukur lukisan berkenaan bagi memastikan ianya mencapai target asal 222 meter.
Bagaimanapun ukurannya telah melepasi sasaran awal, iaitu 310.5 meter.
Sebelum ini, kalimah Allah sejuta sepanjang 135 meter berjaya direkodkan di Terengganu pada tahun 2015 dan kedua di Johor pada tahun 2023 dengan dua juta kalimah sepanjang 177 meter.
Wan Roslan melahirkan rasa syukur memandangkan rekod baru tulisan kalimah Allah berjaya dicipta di sekolah Yayasan Islam Kelantan (YIK).
“Istimewanya program ini, sambil menulis kalimah Allah, anak-anak kita yang terlibat akan berzikir Allah…Allah setiap kali menulisnya di kertas lukisan yang disediakan.
“Semoga Allah terima kerja baik ini serta mendapat keberkatannya,” katanya lagi.
Tambahnya, program ini sangat bermakna kerana dapat mengasah bakat penulisan huruf Jawi selain meningkatkan takwa kepada Allah SWT.
Sementara itu Wan Fakhrulrazi memberitahu setiap lukisan berkenaan akan dijual pada harga RM950.
Tambahnya, setiap pembelian akan digunakan untuk pembangunan sekolah. – HARAKAHDAILY 1/10/2024


