JAS Perlis tegas isu asap, bunyi bising kenderaan

- Advertisement -

PADANG BESAR: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Perlis menegaskan, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pemilik kenderaan yang gagal mematuhi peraturan pelepasan asap dan bunyi bising.

- Advertisement -

Semalam, JAS Negeri dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) Ibu Pejabat Daerah (IPD) Padang Besar melaksanakan Ops Bersepadu di Kilometer 24, Jalan Padang Besar-Chuping dari pukul 10 pagi hingga 1:30 petang.

Pengarah JAS Negeri, Jamal Affendy Shahar berkata, pemeriksaan pelepasan asap hitam dijalankan terhadap 32 kenderaan pelbagai jenis.

“Didapati semua kenderaan yang diperiksa mematuhi had pelepasan asap hitam yang ditetapkan di bawah Peraturan 11, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kawalan Pelepasan Daripada Enjin Diesel) 1996, iaitu tidak melebihi 50 peratus.

“Selain itu, tahap bunyi bising ekzos motosikal turut diperiksa menggunakan alat meter pengukuran bunyi mengikut Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Bunyi Bising Kenderaan Motor) 1987,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Ujarnya, dalam operasi tersebut, tiada kesalahan berkaitan bunyi bising dikesan.

Jamal Affendy turut menegaskan, tindakan tegas termasuk kompaun dan pendakwaan di mahkamah, akan dikenakan kepada pemilik kenderaan yang gagal melepasi ujian pelepasan asap atau bunyi bising.

Dalam operasi berkenaan, PDRM IPD Padang Besar mengeluarkan 36 saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas. – HARAKAHDAILY 1/10/2024