DACS Kangar rancang anjur sukan merentas kaum

- Advertisement -

KANGAR: Dewan Pemuda PAS Kawasan Kangar menerusi Jabatan Kesenian, Kebudayaan dan Sukan (DACS) merancang memperluaskan program merentas kaum melalui penyertaan dalam sukan.

- Advertisement -

Pengarah DACS Kangar, Mohd Noor Safri Cha berkata, pihaknya berhasrat mengajak masyarakat Cina, India dan Siam untuk turut serta dalam sukan seperti futsal dan bola sepak pada masa akan datang.

Menurutnya, inisiatif tersebut adalah selaras dengan dasar keterbukaan PAS yang terkini pada Muktamar Tahunan Ke-70 di Pahang baru-baru ini telah menerima orang bukan-Islam sebagai ahli bersekutu.

“Lepas ini kita akan ajak kaum Cina, India dan Siam untuk melibatkan diri dalam sukan. Ini dapat membina ikatan yang lebih erat, kita bukan rasis dan sukan terbukti berjaya menyatukan semua masyarakat,” ujarnya.

Sebelum ini, DACS Kangar menganjurkan Pertandingan Futsal Merdeka Kangar 2024 melibatkan sebanyak 16 pasukan dari DUN Sena, Bintong, Kayang, Indera Kayangan dan Kuala Perlis di D’Futsal Centre, di sini kelmarin.

Turut hadir Setiausaha PAS Kawasan Kangar, Dr. Saifizi Saidon dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis, Asrul Aimran Abd Jalil serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bintong, Fakhrul Anwar Ismail.

Pasukan Imtiyaz Works muncul sebagai juara pertandingan dan membawa pulang hadiah wang tunai RM500, manakala pasukan Axia B memenangi tempat kedua dengan hadiah RM300.

Tempat ketiga dan keempat masing-masing dimenangi oleh Taman Hijrah FC dan GSA A, yang menerima RM150.

Terdahulu, PAS baru-baru ini membuka keahlian kepada bukan Islam sebagai ahli bersekutu, selepas meluluskan pindaan perlembagaan pada Muktamar Tahunan Ke-70 di Kerdau, Temerloh, Pahang.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, ahli bersekutu mesti menganut agama lain dan mereka yang tidak beragama atau ateis tidak layak menjadi ahli PAS.

“Orang yang ingin menjadi ahli bersekutu PAS mestilah beragama, sama ada Hindu, Kristian, Buddha atau mana-mana agama. Ateis atau orang yang tiada agama tidak boleh menjadi ahli bersekutu PAS,” katanya ketika itu.

Takiyuddin juga menambah, pindaan perlembagaan PAS tersebut melibatkan Fasal 10, yang memperkasa Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) dengan memberikan lebih hak dan peranan kepada ahlinya, termasuk hak mengundi dan dipilih dalam parti seperti termaktub dalam Fasal 60. – HARAKAHDAILY 1/10/2024

- Advertisement -