Beberapa kampung di Daerah Sik pula dilanda banjir

- Advertisement -

SIK: Setelah hampir dua minggu beberapa daerah di utara dan tengah Kedah dilanda banjir dan menjejaskan ribuan mangsa, kini kejadian itu mula ‘berjangkit’ pula ke Daerah Sik.

- Advertisement -

Hujan lebat hampir empat jam di daerah itu pada malam tadi, telah menyebabkan beberapa kampung dinaiki air, antaranya beberapa  kampung di Mukim Sik, iaitu Kampung Bendang Man dan Kampung Chepir.

Juga Kampung Jerai, Kampung Belimbing, Kampung Bendang Temingat, Kampung Tanjung Setar dan Kampung Seberang Pekan Sik.

Sementara turut terlibat enam kampung Mukim Sok iatu Kampung
Charuk Tenang, Kampung Landai, Kampung, Pinang, Kampung Surau, Kampung Melaka dan Kampung Perangin Landai.

Pusat Kawalan Operasi Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Sik turut menerima panggilan kecemasan daripada penduduk kampung untuk menyelamatkan tiga sekeluarga di Kampung Charuk Tenang, selepas rumah mereka dinaiki air kira-kira jam 10:17 malam.

Tiga keluarga berkenaan berdepan detik cemas apabila rumah kediaman diduduki dinaiki air sehingga paras pinggang menyebabkan mereka terperangkap di dalam rumah.

Walaupun setakat ini tiada Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka, namun beberapa keluarga yang terlibat dipindahkan ke surau Kampung Lalang dan Balai Islam Tanjung Belit atas tujuan keselamatan kerana dikhuatiri berlaku implikasi tidak diduga.

Berdasarkan maklumat Pusat Kawalan APM Daerah Sik, banjir kilat itu berlaku apabila air ‘turun’ di bahagian hulu akibat hujan lebat.

Dalam pada itu penduduk di kawasan berisiko tinggi khususnya sepanjang Sungai Chepir dinasihatkan supaya berpindah ke kawasan selamat bagi mengelakkan risiko kehilangan nyawa dan kerugian harta benda. – HARAKAHDAILY 1/10/2024