KISAH ini bermula selepas kewafatan Nabi Musa a.s., ketika Bani Israel kehilangan arah. Selepas kepergian Nabi Musa, kepimpinan jatuh kepada Nabi Yusha bin Nun, murid kepada Nabi Musa.
Walaupun Nabi Yusha bukan seorang rasul, dia tetap menjadi nabi, dan dialah yang menggantikan tugas berat Nabi Musa dalam memimpin kaum Bani Israel.
Sebelum itu, ada sebuah kisah menarik di mana Allah berfirman kepada Nabi Musa bahawa ada seorang hamba-Nya yang lebih berilmu daripada baginda. Bayangkan, Nabi Musa yang bercakap secara langsung dengan Allah masih perlu belajar dari seorang lagi nabi, iaitu Nabi Khidir. Merasa teruja, Nabi Musa bersama Nabi Yusha pergi mencari Nabi Khidir, seperti yang diabadikan dalam surah al-Kahfi.
Setelah Nabi Musa wafat, Nabi Yusha memimpin Bani Israel, membawa mereka menakluk Baitul Maqdis di Palestin. Ini satu kejayaan besar! Selama 150 tahun, Bani Israel hidup di tanah tersebut, walaupun setelah kewafatan Nabi Yusha.
Namun, seperti yang sering terjadi, lama-kelamaan mereka mula lari dari ajaran, dan akhlak mereka merosot. Keadaan menjadi kucar-kacir, sehingga mereka diserang oleh musuh dan kehilangan pemimpin selama 300 tahun.
Dalam tempoh krisis ini, muncul seorang nabi bernama Nabi Samuel. Tapi Nabi Samuel bukan pemimpin perang – tugasnya menjaga agama. Melihat keadaan semakin parah, ketua-ketua Bani Israel berjumpa Nabi Samuel dan meminta baginda memohon kepada Allah untuk melantik seorang raja yang boleh memimpin mereka dalam peperangan.
Nabi Samuel, mengetahui sikap dan perangai mereka, sudah curiga. Dia berkata, “Kalau Allah wajibkan kamu berperang, adakah kamu betul-betul akan berperang?” Mereka menjawab dengan penuh semangat, “Mengapa tidak? Kami sudah diusir dari rumah kami, anak-anak kami diculik!” Tapi seperti biasa, apabila benar-benar tiba masanya untuk berperang, kebanyakan mereka lari kecuali segelintir yang berani.
Allah memilih Talut sebagai raja mereka. Tapi apa reaksi Bani Israel? Mereka merungut, “Bagaimana Talut boleh jadi raja? Kami lebih layak, dan dia tidak kaya!” Talut memang seorang lelaki yang biasa—tiada harta, bukan bangsawan, dan hanya bekerja kampung. Tetapi dia dipilih oleh Allah kerana kelebihan ilmunya serta tubuh badannya yang gagah.
Talut memang tidak punya kekayaan, tapi dia ada apa yang diperlukan untuk menjadi panglima perang—pengetahuan yang luas dan kekuatan tubuh untuk memimpin dari barisan hadapan.
Bani Israel masih tidak puas hati. Mereka merungut tentang Tabut—sebuah tong kayu yang menyimpan barang-barang peninggalan Nabi Musa, termasuk kitab Taurat. Tong itu dirampas oleh musuh ketika mereka diserang, dan bagi mereka, tanpa tong itu, tiada harapan untuk menang.
Kemudian datanglah tanda yang meyakinkan mereka—Tabut itu dikembalikan oleh malaikat. Bila tong itu kembali, semangat Bani Israel berkobar-kobar, kerana bagi mereka, itu tanda Allah telah memberkati perjuangan mereka. Dengan tong itu, Talut disahkan sebagai raja yang sah, dan persiapan untuk perang pun dimulakan.
Talut pun menyusun tenteranya, melantik orang ke jawatan tertentu, dan melatih askar-askar untuk berperang. Mereka akhirnya berhadapan dengan musuh yang diketuai oleh Jalut, seorang gergasi yang amat menakutkan.
Tubuh Jalut begitu kebal, hingga senjata biasa tidak mampu melukakannya. Ternyata, perang dengan Jalut bukanlah mudah, tapi itulah cabaran yang menanti mereka. – HARAKAHDAILY 1/10/2024
PENAFIAN
Harakahdaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Harakahdaily mahupun pendirian rasmi PAS.