KOTA BHARU: Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V menitahkan agar kerajaan Persekutuan meneruskan pelaksanaan Projek Lebuhraya Pantai Timur fasa tiga (LPT3).
Titah baginda, usaha itu bagi memastikan kerancakan ekonomi dan sosial ekonomi rakyat dapat berkembang dengan jaringan pengangkutan berkesan.
“Selain itu, jaringan pengangkutan darat memainkan peranan yang sangat penting dalam pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat di negeri beta.
“Sukacita beta menyeru agar Projek LPT3 dapat dipercepatkan,” titah baginda pada Istiadat Pengurniaan Penghormatan Kebesaran Kelantan Sempena Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Muhammad V yang ke-55 di Istana Balai Besar, di sini, hari ini.
Pada masa sama, baginda turut meminta kerjasama antara negeri dan persekutuan terus diperkasakan terutamanya dalam meneroka sumber tenaga boleh baharu (TBB).
Titah baginda, penghasilan TBB menjadi salah satu agenda bagi kerajaan negeri melalui kepimpinan Menteri Besar Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud.
“Beta amat berharap agar kerajaan negeri dan persekutuan dapat berusaha meningkatkan peluang penerokaan TBB seperti hidrogen, nadir bumi dan tenaga solar yang mampu menjana sumber ekonomi baharu di negeri ini,” titah baginda.
Baginda turut berharap Kerajaan Persekutuan mempertimbangkan untuk memanjangkan tempoh insentif pengecualian cukai di Kelantan selama 15 tahun lagi.
Titah baginda, usaha itu akan memberikan ruang yang lebih luas untuk pelaburan baharu memanfaatkan inisiatif pembangunan yang sedang ada.
“Pada masa sama ia memastikan kejayaan serta kelestarian projek reojek berkenaan dalam jangka masa panjang,” titah baginda. – HARAKAHDAILY 29/9/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!