PRK Mahkota: Peratus mengundi belum capai 50 peratus

Sebahagian pengundi hadir untuk mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Dato' Syed Zain Alshahab, Kluang, Johor dalam PRK Mahkota pada hari ini, 28 September 2024. (FOTO: HARAKAHDAILY/Abdul Aziz Yunos)
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Peratus pengundi yang telah keluar mengundi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota sehingga jam 4 petang hari ini, hanya mencecah 47.16 peratus.

Setakat jam 3 petang tadi, ia mencatat sebanyak 43.44, pertambahan yang sedikit berbanding 38.53 peratus pada 2 petang, dan 29.08 peratus setakat jam 1 tengah hari, serta 29.08 peratus sebelumnya pada 12 tengah hari.

- Advertisement -

Pertambahan bilangan pengundi itu sedikit ketara berbanding sebanyak 23.39 peratus pada jam 11 pagi tadi, dan 16.56 peratus sehingga 10 pagi hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkata, kesemua 20 pusat mengundi melibatkan 109 saluran dibuka secara serentak iaitu pada jam 8 pagi tadi bagi membolehkan 61,274 pengundi berdaftar melaksanakan tanggungjawab mereka pada hari ini.

Kesemua 20 pusat pengundian akan ditutup pada jam 6 petang ini sebelum melakukan proses pengiraan undi.

Menurut laporan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) dan media, cuaca setakat ini adalah baik yang mana proses pengundian masih lagi berada dalam keadaan yang lancar.

Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar ketika meninjau proses pengundian di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Perdana, Kluang, Johor pada hari ini, 28 September 2024.

PRK Mahkota menyaksikan pertarungan dua penjuru antara calon Perikatan Nasional (PN), Mohamad Haizan Jaafar, atau Coach Haizan dan calon Barisan Nasional (BN), Syed Hussein Syed Abdullah.

Coach Haizan telah hadir membuang undi di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Melayu kira-kira jam 10 pagi tadi; manakala Syed Hussien di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Perdana pada 8.30 pagi.– HARAKAHDAILY 28/9/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!