
KLUANG: Seramai 61,274 pengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota bakal menunaikan tanggungjawab mereka untuk memilih wakil rakyat mereka hari ini.
Ia berlangsung selepas tempoh berkempen selama 14 hari yang dibenarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) bagi PRK ini tamat tengah malam tadi.
Menurut SPR, proses pembuangan undi itu berlangsung di 20 pusat membabitkan 109 saluran yang dibuka serentak pada jam 8 pagi dan dijadualkan berakhir pada 6 petang, sebelum proses penjumlahan undi dilakukan di Dewan Tunku Ibrahim Ismail di sini.
Pengundi berdaftar DUN Mahkota bakal membuat pilihan antara dua calon yang masing-masing mewakili parti PERIKATAN NASIONAL dan Barisan Nasional (BN) dalam pertembungan satu lawan satu.
PERIKATAN NASIONAL mempertaruhkan tokoh sukan yang juga bekas pemain bola sepak, Mohamad Haizan Jaafar, 61, yang lebih dikenali sebagai Coach Haizan.
BN pula meletakkan Ketua Pemuda Umno Bahagian Kluang, Syed Hussein Syed Abdullah, 40, sebagai calon mereka.
Kedua-dua calon PRK Mahkota itu juga akan mengundi hari ini, dengan Coach Haizan dijangka akan membuang undi di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Melayu kira-kira jam 10 pagi; manakala Syed Hussien di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Perdana pada 8.30 pagi.
PRK DUN Mahkota diadakan setelah penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain meninggal dunia pada 2 Ogos lepas sewaktu dirawat di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom akibat pendarahan dalaman.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) meramalkan cuaca baik di bandar Kluang pagi ini, namun ribut petir dijangka melanda pada sebelah petang dengan suhu antara 23 hingga 33 darjah Celcius.
Secara keseluruhan terdapat 66,318 pengundi berdaftar bagi DUN Mahkota dengan pengundian awal bagi anggota tentera dan pasangan serta polis berlangsung pada Selasa, membabitkan 4,437 pengundi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga sudah mengeluarkan kertas 607 undi pos pada 15 September lalu dan melantik 1,126 petugas bagi mengendalikan proses PRK DUN Mahkota kali ini.– HARAKAHDAILY 28/9/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!