KOTA BHARU: Kelantan Darulnaim FC (KDN FC) mengotakan janji apabila berjaya menewaskan Negeri Sembilan FC (NSFC) dengan memungut tiga mata setelah menang 3-2 pada aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman malam tadi.
Kemenangan KDN FC itu sekali gus skuad Hobin Jang Hobin tewas di laman sendiri.
Jaringan sepakan percuma Oday Kharoub pada masa tambahan memadamkan kebangkitan lewat Negeri Sembilan FC dalam saingan Liga Super 2024/25.
Pada aksi itu, KDN FC mendahului dua jaringan pada babak pertama, namun NSFC bangkit menyamakan kedudukan pada lima minit terakhir dan jaringan Oday mengesahkan kemenangan 3-2 ke atas pasukan tuan rumah.
Penolong Ketua Jurulatih Rezal Zambery Yahya, memuji skuad Sang Kijang Emas itu kerana berjuang sehabis mungkin untuk mencipta kemenangan kedua di liga berkenaan.
Katanya, pemain KDN FC wajar diberi pujian atas kesungguhan mereka untuk mengutip tiga mata penuh.
Menurutnya pemain KDN FC beraksi seperti dirancangkan sekaligus menepati kehendak mereka untuk menang ke atas Negeri Sembilan FC.
“Alhamdulillah pertama sekali terima kasih pemain. Pujian kepada mereka kerana beraksi seperti dirancang. Mereka tidak kelam kabut malah berjaya menyerap tekanan walau Negeri Sembilan berjaya menjaringkan gol penyamaan,” ujarnya di sini.
Dengan kemenangan itu Rezal berharap dengan tempoh yang ada sebelum perlawanan seterusnya dengan KL City, pemain dapat memberi sepenuh komitmen untuk buat kebangkitan semula dalam saingan Liga Super.
Pada perlawanan malam tadi, KDN FC cemerlang pada babak pertama untuk melakar dua jaringan menerusi Hakimi Abdullah dan Kim Likwan.
Bagaimanapun Negeri Sembilan bangkit menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti Jaque Faye serta tandukan kencang Sebastian Avanzini.
Ketika perlawanan hampir tamat, Oday Kharoub muncul wira setelah sepakan percuma lencong dari sebelah kiri mengelirukan penjaga gol lawan untuk memberikan KDN FC kemenangan dramatik 3-2. – HARAKAHDAILY 28/9/2024