
KLUANG: Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) dalam satu hantaran di laman Facebooknya memaklumkan bahawa peratusan keluar mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota sehingga jam 3 petang tadi cuma sebanyak 43.44 peratus.
Peratusan tersebut dilihat rendah dan kurang daripada 50 peratus jika dibandingkan dengan beberapa PRK yang telah berlangsung pada tahun 2024 terdiri daripada PRK Kuala Kubu Baru, Selangor; PRK Sungai Bakap, Pulau Pinang dan PRK Nenggiri, Kelantan.
Sebagai perbandingan bagi tempoh masa yang sama iaitu sehingga jam 3 petang bagi tiga lagi PRK yang berlangsung pada tahun ini ialah seperti berikut – PRK Kuala Kubu Baru ialah 50.87 peratus; PRK Sungai Bakap (51.32%) dan PRK Nenggiri (68.21%).
Sementara bagi peratusan keluar mengundi keseluruhan yang dicatatkan ketiga-tiga PRK itu sebelum ini ialah PRK Kuala Kubu Baru ialah 61.5 peratus; PRK Sungai Bakap (63.45%) dan PRK Nenggiri (73.88%).
Tinjauan Harakahdaily di beberapa lokasi Pusat Mengundi sekitar DUN Mahkota turut mendapati suasana lengang dengan kebiasaannya peningkatan peratusan keluar mengundi pada sebelah petang adalah lebih rendah berbanding sebelah pagi.
Ia membawa kepada persoalan bahawa mungkinkah PRK DUN Mahkota akan menjadi PRK yang jumlah peratusan keluar mengundi paling rendah pada tahun ini?
Bukan itu sahaja, malah ada kemungkinan bahawa peratusan keluar mengundi akan berada pada paras di bawah 50 peratus sekiranya tiada peningkatan ketara dalam tempoh berbaki tiga jam lagi sebelum pusat-pusat mengundi ditutup pada jam 6 petang ini.
PRK DUN Mahkota diadakan setelah penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain meninggal dunia pada 2 Ogos lepas sewaktu dirawat di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom akibat pendarahan dalaman.
Dalam PRK ini, calon PERIKATAN NASIONAL, Mohamad Haizan Jaafar, 61, atau Coach Haizan menentang calon BN, Syed Hussein Syed Abdullah, 40, dalam pertembungan satu lawan satu.
Seramai 61,274 pengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota bakal menunaikan tanggungjawab mereka untuk memilih wakil rakyat mereka hari ini setelah tempoh berkempen tamat malam tadi.
Sementara pengundian awal melibatkan 4,437 pengundi terdiri daripada anggota tentera dan pasangan serta polis telah berlangsung Selasa lepas. – HARAKAHDAILY 28/9/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!