Gelombang sokongan rakyat terhadap PN positif di PRK Mahkota

Coach Haizan dan Abdullah Husin selepas hadir mengundi di Pusat Mengundi Sekolah Kebangsaan Kampung Melayu, Kluang, Johor pada hari ini, 28 September 2024. (FOTO: HARAKAHDAILY/Abdul Aziz Yunos)
- Advertisement -

KLUANG: Pesuruhjaya PAS Johor, Ustaz Abdullah Husin menyifatkan jentera pilihan raya PERIKATAN NASIONAL bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota telah menjalankan amanah mereka dengan sempurna.

“Saya sangat berpuas hati dengan kempen yang telah dilaksanakan oleh jentera PERIKATAN NASIONAL dengan calon yang berketerampilan. Menyantuni segenap lapisan masyarakat pengundi daripada berbilang kaum. 

“Kita telah buat yang terbaiklah,” katanya.

- Advertisement -

Beliau berkata demikian kepada Harakahdaily sewaktu mengiringi calon PERIKATAN NASIONAL, Mohamad Haizan Jaafar, 61, (Coach Haizan) membuang undi di Pusat Mengundi Sekolah Kebangsaan Kampung Melayu hari ini.

“Kita pun malam tadi kita dah buat solat hajat, berdoa, bermunajat dan mendengar tahujihat dan sebagainya.

“Mudah-mudahan gelombang yang kita lihat ni dapat menghasilkan natijah yang baiklah,” katanya yang juga Naib Pengerusi PERIKATAN NASIONAL Johor.

Dari pemerhatian beliau sewaktu mengiringi calon ke pusat pengundian tadi, Ustaz Abdullah berkata, respons yang ditunjukkan oleh pengundi sangat positif.

“Saya tengok respons di dalam perjalanan tadi begitu baik dan sambutan yang sebegitu mesra dan juga apabila selesai tadi begitu ramai wartawan-wartawan yang membuat liputan dan sebagainya.

“Bukan wartawan sahaja, bahkan saya rasa pengundi-pengundi dan pemerhati-pemerhati politik juga ada. 

“Ia memperlihat satu gelombang sokongan rakyat,”  katanya.

Mengulas tentang sokongan pengundi bukan Melayu di situ, Ustaz Abdullah menzahirkan keyakinan bahawa wujud perubahan sikap dalam kalangan pengundi bukan Melayu terhadap PERIKATAN NASIONAL pada PRK itu.

“Saya yakin pada kali ini kita boleh mendapat sokongan daripada bukan Melayu berdasarkan respons yang kita terima daripada mereka dan kita boleh lihatlah reaksi mereka.

“Walaupun mungkin reaksi itu tak seratus-peratus tepat, tapi kebanyakan mereka, walau bukan semua pun, tapi kita lihat boleh memberikan sokongan kepada PERIKATAN NASIONAL, insya-Allah,” katanya.  

Beliau turut mengambil kesempatan menyeru para pengundi agar keluar mengundi bagi menunaikan tanggungjawab mereka kepada negara.

“Cuaca pun sedang elok, baik, jadi mana tahu hujan ke nanti dan sebagainya. Jadi janganlah melepaskan peluang untuk keluar mengundi. Ini hak kita sebagai rakyat sebagai warganegara.

“Tunaikan tanggungjawab. Jangan sampai kita mengabaikan tanggungjawab untuk mengundi. 

“Nak undi siapa, itu terpulanglah. Tetapi keluarlah mengundi beramai-ramai,” katanya.

PRK DUN Mahkota diadakan setelah penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain meninggal dunia pada 2 Ogos lepas sewaktu dirawat di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom akibat pendarahan dalaman.

Dalam PRK ini, calon PERIKATAN NASIONAL, Mohamad Haizan Jaafar, 61, (Coach Haizan) menentang calon BN, Syed Hussein Syed Abdullah, 40, dalam pertembungan satu lawan satu.

Seramai 61,274 pengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota bakal menunaikan tanggungjawab mereka untuk memilih wakil rakyat mereka hari ini setelah tempoh berkempen tamat malam tadi.

Sementara pengundian awal melibatkan 4,437 pengundi terdiri daripada anggota tentera dan pasangan serta polis telah berlangsung Selasa lepas.

Menurut SPR, proses pembuangan undi itu berlangsung di 20 pusat membabitkan 109 saluran yang dibuka serentak pada 8 pagi dan dijadualkan berakhir pada jam 6 petang.

Proses penjumlahan undi akan berlangsung di Dewan Tunku Ibrahim Ismail di sini selepas semua pusat pengundian ditutup.

Secara demografi daripada keseluruhan 66,318 pengundi di DUN Mahkota, dengan 54 peratus daripadanya adalah Melayu manakala baki 46 peratus adalah bukan Melayu. – HARAKAHDAILY 28/9/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!