
KLUANG: Hujan mula turun membasahi daerah ini melibatkan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota bermula kira-kira jam 4.15 petang tadi.
Situasi ini dijangka menjadi cabaran kepada baki 52.84 peratus lagi pengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Mahkota yang masih belum keluar mengundi berdasarkan maklumat yang dimuatnaik Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) sehingga jam 4 petang tadi.
Waktu berbaki sekitar sejam sahaja lagi bagi pengundi-pengundi berdaftar menunaikan tanggungjawab mereka di 20 pusat pengundian membabitkan 109 saluran yang dijadualkan ditutup pada jam 6 petang ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) semalam dalam ramalannya menjangkakan ribut petir akan melanda pada sebelah petang dengan suhu antara 23 hingga 33 darjah Celcius.
PRK DUN Mahkota diadakan setelah penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain meninggal dunia pada 2 Ogos lepas sewaktu dirawat di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom akibat pendarahan dalaman.
Dalam PRK ini, calon PERIKATAN NASIONAL, Mohamad Haizan Jaafar, 61, (Coach Haizan) menentang calon BN, Syed Hussein Syed Abdullah, 40, dalam pertembungan satu lawan satu. – HARAKAHDAILY 28/9/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!