Coach Haizan minta restu ibu mertua sebelum mengundi

Coach Haizan selepas selesai membuang undi di Pusat Mengundi Sekolah Kebangsaan Kampung Melayu, Kluang, Johor pada hari ini, 28 September 2024. (FOTO: HARAKAHDAILY/Abdul Aziz Yunos(
- Advertisement -

KLUANG: “Saya balik ke Simpang Renggam jumpa mak mertua saya dahulu sebelum mengundi, cium tangan dia, terus ke sini.”

Calon PERIKATAN NASIONAL (PN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Mahkota, Mohamad Haizan Jaafar atau Coach Haizan, 61, berkata demikian ketika ditanya wartawan mengapa tidak datang awal untuk mengundi.

- Advertisement -

Menurutnya, beliau terlebih dahulu bertemu dengan ibu mertuanya yang berusia 80 tahun itu untuk meminta restu kerana sebelum itu ibu kepada isteri beliau yang juga sedang uzur berada di Kota Tinggi dan baru sahaja tiba di Simpang Renggam.

Beliau yang ditemani oleh Pesuruhjaya PAS Johor, Ustaz Abdullah Husin ditemui media selepas selesai menunaikan tanggungjawabnya membuang undi di Pusat Mengundi Sekolah Kebangsaan Kampung Melayu, di sini, jam 10 pagi tadi.

Beliau turut menzahirkan rasa syukur kerana setakat ini proses pengundian berjalan lancar dengan tiada kejadian yang tidak diingini berlaku.

“Saya tengok ramai keluar mengundi, alhamdulillah. Saya minta semua yang di luar balik. Balik untuk mengundi.

“Kalau Tuhan izinkan menang, menanglah, saya telah berusaha. Sudah tawakkal dan doa. Serah pada Allah SWT,” katanya.

Coach Haizan dan Abdullah Hussin selepas selesai mengundi di Pusat Mengundi Sekolah Kebangsaan Kampung Melayu, Kluang, Johor.

Beliau yang juga merupakan Ahli Jawatankuasa Bersatu Bahagian Kluang itu dibesarkan di Kluang dan mendapat Pendidikan awal beliau di Sekolah Kebangsaan Tunku Mahmud 1 Kluang, kemudian ke Sekolah Tinggi Kluang. 

Antara faktor Coach Haizan dipilih sebagai calon adalah kerana ketokohan dan sumbangan besarnya dalam bidang sukan selain pengalaman luasnya sebagai penjawat awam dan aktif dalam aktiviti kemasyarakatan. 

Beliau juga pernah mewakili Negeri Johor dalam pelbagai kejohanan bola sepak termasuk Piala Razak dan Piala Presiden pada era 80an dan kemudiannya meneruskan kerjaya sebagai pemain semi pro Negeri Johor serta pernah mewakili Negeri Johor ke Pertandingan Piala Emas Raja-Raja. 

Kini beliau merupakan seorang jurulatih bola sepak dengan memegang lesen B dalam bidang kejurulatihan dan pernah berkhidmat sebagai ketua jurulatih untuk beberapa pasukan bola sepak seperti Johor Indian dan pasukan Remaja Cina Kluang.

PRK DUN Mahkota diadakan setelah penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain meninggal dunia pada 2 Ogos lepas sewaktu dirawat di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom akibat pendarahan dalaman.

Seramai 61,274 pengundi bagi PRK DUN Mahkota bakal menunaikan tanggungjawab mereka untuk memilih wakil rakyat mereka hari ini. 

Ini setelah tempoh berkempen selama 14 hari yang dibenarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) bagi PRK ini tamat tengah malam tadi.

Menurut SPR, proses pembuangan undi itu berlangsung di 20 pusat membabitkan 109 saluran yang dibuka serentak pada jam8 pagi dan dijadualkan berakhir pada jam 6 petang.

Proses penjumlahan undi akan berlangsung di Dewan Tunku Ibrahim Ismail di sini setelah proses pengundian selesai jam 6 petang ini. – HARAKAHDAILY 28/9/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!