Ziarah Kasih UniMAP ringankan beban pelajar B40

- Advertisement -

PADANG BESAR: Keluarga Rohimi Shariff, 46, yang bergantung kepada hasil padi mengalami kebimbangan apabila hasil tanaman tersebut tidak menjadi pada musim ini berikutan pelbagai faktor alam.

- Advertisement -

Keadaan itu menyebabkan mereka risau terhadap kemampuan untuk menanggung yuran pengajian anak mereka, Nur Hidayah Rohimi, 22, yang bakal melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Dalam usaha meringankan beban keluarga pelajar, UniMAP meneruskan program Ziarah Kasih dengan mengunjungi kediaman keluarga Nur Hidayah di Beseri, di sini kelmarin.

Program itu bertujuan memberikan sokongan moral kepada pelajar yang memerlukan agar mereka dapat meneruskan pengajian dengan lebih tenang.

Nur Hidayah yang menerima tawaran melanjutkan pelajaran dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal di Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Mekanikal turut menerima Biasiswa Program Dermasiswa B40 TVET.

Bantuan tersebut sedikit sebanyak membantu meringankan beban kewangan keluarga Rohimi dan beliau amat bersyukur atas bantuan tersebut kerana mengurangkan kerisauannya dalam memastikan Hidayah dapat melanjutkan pengajian.

“Dengan adanya biasiswa ini, saya yakin Nur Hidayah boleh menumpukan sepenuh perhatian kepada pelajarannya,” kata Rohimi.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UniMAP, Prof Ts Dr Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah ketika mengetuai rombongan menyatakan komitmen universiti dalam menjaga kebajikan pelajar, terutamanya yang menghadapi masalah kewangan.

Beliau turut menegaskan bahawa Biasiswa Dermasiswa B40 TVET adalah satu inisiatif penting untuk memberi peluang kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah.

Program Ziarah Kasih ini juga menyaksikan UniMAP menyerahkan sumbangan ‘Bakul Kasih’ kepada keluarga Nur Hidayah sebagai tanda keprihatinan terhadap pelajarnya.

Nur Hidayah berharap dapat mencapai kecemerlangan akademik dan membuktikan bahawa setiap pelajar mampu berjaya walaupun menghadapi cabaran yang besar. – HARAKAHDAILY 27/9/2024