Cuti 4 hari di Kelantan sempena Keputeraan Sultan

- Advertisement -

TUMPAT: Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V berkenan berangkat ke Majlis Solat Hajat dan Doa Selamat sempena Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan baginda yang ke-55 di Masjid Al-Ismaili di Pasir Pekan dekat sini malam tadi. (Foto atas)

Baginda tiba pada jam 7.15 malam dan menunaikan solat Maghrib yang dipimpin Mufti Kelantan, Dato’ Mohamad Shukri Mohamad bersama lebih 1,000 jemaah.

Turut berangkat Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra dan Tengku Temenggong Kelantan Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz.

- Advertisement -

Hadir sama Menteri Besar Dato’ Panglima Perang, Ustaz Mohd Nassuruddin Daud, pimpinan kerajaan negeri dan pegawai-pegawai kanan.

Majlis diteruskan dengan solat sunat hajat, bacaan surah Yaasin, tahlil dan doa sebelum menunaikan solat Isyak berjemaah.

Sultan Muhammad V meluangkan masa kira-kira dua jam di majlis itu sebelum berangkat pulang.

Sementara itu penjawat awam negeri dan Persekutuan termasuk swasta di Kelantan mendapat cuti agak panjang  selama empat hari bermula hari ini termasuk cuti Keputeraan Sultan  pada 29 dan 30 September ini. – HARAKAHDAILY 27/9/2024