200 peserta ikuti Kursus Fiqh Syafi’i

- Advertisement -

KOTA BHARU: Lebih 200 peserta menghadiri Kursus Fiqh Syafi’i Antarabangsa dianjurkan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).

Peserta terlibat terdiri daripada pensyarah dan pelajar KIAS, wakil Majlis Agama Islam Negeri dan Wilayah Persekutuan, Jabatan Agama Islam Negeri, guru Yayasan Islam Kelantan (YIK), guru pondok golongan ulama.

Program berkenaan turut mendapat kerjasama Bank Rakyat dan Yayasan Tok Kenali, diadakan selama lima hari bermula semalam hingga 30 September ini.

- Advertisement -

Program berkenaan dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri, Mohd Asri Mat Daud di Dewan Johor, KIAS semalam.

Timbalan Pengarah program berkenaan, Mujiburrahman Muhammad Saleh berkata, kursus berkenaan  memberi tumpuan kepada pengajian teks fiqh Syafi’i, Safinatun Naja menggunakan bahasa Arab sepenuhnya.

Katanya, kursus tersebut menggunakan kaedah talaqqi, pendekatan pembelajaran terus daripada guru iaitu Prof Madya Dr Amjad Rashied Ali, Dekan Fakulti Fiqh Syafi’i dari Universiti Sains dan Pendidikan Islam Dunia (Universiti WISE), Amman, Jordan.

“Teks Safinatun Naja adalah karya penting dalam fiqh Syafi’i, membincangkan topik-topik dalam ibadah dan isu-isu fiqh asas,” katanya di sini.

Menurut Mujiburrahman, teks tersebut sangat relevan untuk kajian mendalam tentang mazhab Syafi’i.

Menurutnya juga pogram itu bertujuan memperkasakan penguasaan fiqh Syafi’i melalui kajian yang berfokus dan terperinci, khususnya dengan kaedah talaqqi yang menekankan hubungan langsung antara guru dan murid.

“Kajian Safinatun Naja di bawah bimbingan Dr Amjad Rashied Ali diharapkan dapat menajamkan kefahaman peserta dan meningkatkan kepakaran mereka dalam mazhab Syafi’i,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 27/9/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -