Putin keluar amaran bakal gunakan senjata nuklear

Vladmir Putin. (FOTO: Foreign Policy)
- Advertisement -

MOSCOW: Presiden Rusia, Vladimir Putin memberi amaran kepada Barat bahawa negaranya akan menggunakan senjata nuklear jika ia diserang dengan peluru berpandu konvensional, dan menganggap sebarang serangan ke atasnya yang disokong oleh kuasa nuklear sebagai serangan bersama.

Keputusan untuk menukar doktrin nuklear rasmi negara itu adalah jawapan Rusia kepada perbincangan di Amerika Syarikat dan Britain tentang sama ada akan memberi atau tidak kebenaran Ukraine untuk menembak peluru berpandu Barat konvensional ke Rusia, lapor CNN.

- Advertisement -

Ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Keselamatan negaranya pada Rabu, Putin berkata, perubahan itu adalah sebagai tindak balas kepada landskap global yang berubah pantas dan telah menimbulkan ancaman serta risiko baharu bagi Rusia.

“Adalah dicadangkan bahawa pencerobohan terhadap Rusia oleh mana-mana negara bukan nuklear, tetapi dengan penyertaan atau sokongan negara nuklear, dianggap sebagai serangan bersama mereka ke atas Persekutuan Rusia.

“Syarat untuk peralihan Rusia kepada penggunaan senjata nuklear juga jelas ditetapkan. Moscow akan mempertimbangkan langkah sedemikian jika ia mengesan permulaan pelancaran besar-besaran peluru berpandu, pesawat atau dron terhadap negara ini,” katanya.

Beliau dalam pada itu menegaskan bahawa Rusia berhak untuk turut menggunakan senjata nuklear jika Belarus atau sekutunya menjadi subjek pencerobohan, termasuk oleh senjata konvensional.

“Penjelasan telah ditentukan dengan teliti dan sepadan dengan ancaman ketenteraan moden yang dihadapi Rusia, pengesahan bahawa doktrin nuklear sedang berubah,” ujarnya.

Doktrin nuklear Rusia yang digunakan ketika ini telah ditetapkan dalam dekri pada 2020 oleh Putin, mengatakan Rusia mungkin menggunakan senjata nuklear sekiranya berlaku serangan nuklear oleh musuh atau serangan konvensional yang mengancam kewujudan negaranya. 

Inovasi yang digariskan oleh Putin termasuk meluaskan ancaman di mana Rusia akan mempertimbangkan serangan nuklear, kemasukan sekutu Belarus di bawah payung nuklear dan idea bahawa kuasa nuklear oleh musuhnya yang menyokong serangan konvensional ke atas Rusia juga akan dianggap sebagai menyerang negara itu. -Agensi/– HARAKAHDAILY 26/9/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!