KOTA BHARU: Kelantan Darul Naim FC (KDN FC III) mengatur perlawanan persahabatan dengan Terengganu FC III di Stadium Mini Daerah Machang petang ini.
Perlawanan persahabatan itu bertujuan menguji ketahanan bagi menghadapi saingan suku akhir Piala Presiden 2024 bulan depan.
Ketua Jurulatih, Mohd Zaki Mat Hussin berkata, perlawanan persahabatan itu penting sebagai ujian taktikal dan boleh menjadi penanda aras pemain.
Menurutnya menjelang perlawanan suku akhir pertama pada 10 Oktober ini, pihak pengurusan mengadakan perlawanan persahabatan berkualiti bagi menguji taktikal yang direncanakan ketika sesi latihan.
“Perlawanan persahabatan menjadi penanda aras sama ada pasukan kami sudah bersedia dengan secukupnya atau masih lagi mencari taktikal terbaik,” katanya di sini hari ini.
Oleh itu Zaki berharap pemain KDN III perlu menunjukkan kualiti sebenar pada perlawanan menentang Terengganu walaupun sekadar perlawanan persahabatan kerana pasukan itu juga layak ke suku akhir Piala Presiden.
“Ini peluang untuk tampil dengan kualiti serta potensi. Terengganu sebuah kelab yang akan bersaing merebut slot separuh akhir.
“Harapan saya semoga semangat pemain tidak luntur untuk meneruskan perjuangan demi karier dan masa depan mereka sendiri,” katanya.
Persediaan pemain bawah 20 tahun Sang Kijang Emas itu sebagai persiapan sebelum menghadapi AMD-B17 pada saingan suku akhir yang dijadualkan pada 10 dan 17 Oktober 2024. – HARAKAHDAILY 26/9/2024