Ikan mati di Sungai Balok jadi tanda tanya

- Advertisement -

KUANTAN: Ikan-ikan mati timbul di tepian muara Sungai Balok, dekat sini menimbulkan persoalan dan keresahan hati penduduk setempat.

Menurut Ahli Dewan Negeri (ADN) Beserah, Dato’ Andansura Rabu, jenis-jenis ikan yang dilihat antaranya ikan duri, belukang, siakap dan gelama.

Sehubungan itu, beliau meminta Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memandang serius perkara yang berlaku dan perlu membuat tindakan yang segera.

- Advertisement -

“Kita dapati pencemaran di Sungai Balok telah menjadi lebih kritikal dalam tempoh sebulan ini, dan ini kali ke dua pencemaran teruk yang dikesan berlaku.

“Saya berharap pihak Jabatan Alam Sekitar dapat mengemukakan hasil siasatan pencemaran ini kepada umum khasnya bagi mereka yang menjalankan aktiviti menangkap ikan, ketam ataupun apa saja aktiviti di sekitar Sungai Balok yang mungkin terkesan akibat pencemaran ini,” katanya.

Tambahnya, JAS dan JPS perlu merancang untuk memelihara semula kebersihan di Sungai Balok, berikutan daripada maklum balas yang diterima beliau terdapat banyak pokok tumbang yang menghalang dan menyekat aliran air sungai.

Katanya lagi, pokok-pokok tersebut juga telah menyekat sampah-sampah yang telah dihanyut dari peringkat hulu sungai tersebut.

Justeru beliau mencadangkan agar diadakan satu program atau perancangan pemulihan Sungai Balok secara lebih komprehensif untuk memulihkan keyakinan orang ramai tentang keadaan sebenar sungai itu. – HARAKAHDAILY 26/9/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -