ALOR SETAR: Banjir di Kedah semakin pulih dengan penurunan 1,595 mangsa di pusat pemindahan sementara (PPS) daripada 483 keluarga berbanding 2,366 orang daripada 736 keluarga malam tadi.
Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam kenyataan berkata, kini hanya 18 PPS sahaja dibuka di daerah Kota Setar, Pendang dan Pokok Sena bagi menempatkan setiap keluarga mangsa.
Daerah Pendang yang mencatatkan jumlah mangsa tertinggi seramai 941 orang daripada 262 keluarga di 10 PPS diikuti daerah Kota Setar, seramai 623 mangsa daripada 209 keluarga di tujuh PPS dan Pokok Sena pula masih kekal satu PPS dibuka yang memuatkan 31 mangsa daripada 12 keluarga.
Setakat semalam, sebanyak 5,059 mangsa telah mendaftar keluar daripada PPS.
Dalam pada itu, info daripada laman web Public Infobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), daerah Kota Setar, aras airnya di Sungai Anak Bukit dan Sungai Kedah menurun kepada tahap waspada yang sebelum ini melebihi tahap amaran.
Terdahulu, jumlah mangsa banjir di Kedah pernah mencecah 8,111 mangsa daripada 2,595 keluarga setakat jam 5 petang pada Sabtu, 21 September lepas yang ditempatkan di 40 PPS. – HARAKAHDAILY 26/9/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!