
BEIRUT: Kementerian Kesihatan Lubnan memaklumkan seramai 72 orang telah terkorban manakala sekurang-kurangnya 223 yang lain cedera dalam serangan yang dilancarkan Zionis Israel.
Serangan pada Rabu itu dilaporkan berlaku di wilayah Bint Jbeil, Tebnin dan Ain Qana di selatan negara itu, dan Kampung Joun di daerah Chouf berhampiran bandar selatan Sidon, dan Maaysrah di daerah Keserwan utara, lapor Al Arabiya.
Sementara itu, lebih 60 orang telah dipindahkan oleh Tentera Lubnan pada Rabu dari bandar Kristian Alma Chaab, di sepanjang sempadan dengan Israel berikutan serangan berkenaan.
Seorang penduduk yang dikenali sebagai Milad Eid berkata, sekurang-kurangnya dua rumah telah musnah sama sekali, tetapi bersyukur kerana ianya kosong dan tiada kematian yang berlaku.
Kementerian Luar Lubnan dalam satu kenyataannya berkata, seramai setengah juta individu mungkin telah kehilangan tempat tinggal di negara itu, dengan beribu-ribu orang pelarian yang melarikan diri dari selatan Lubnan bertindak berteduh di sekolah dan bangunan lain di ibu negara.
Zionis Israel telah meluaskan kawasan yang diserangnya sejak malam Selasa, dengan serangan buat pertama kali ke atas bandar peranginan pantai Jiyyeh di selatan Beirut dan Maaysrah. -Agensi/– HARAKAHDAILY 26/9/2024