KUALA TERENGGANU: Khidmat Pengurusan Kecemasan dan Bencana Malaysia (Khidmat Malaysia) Terengganu menghantar 150 sukarelawan bagi membantu mangsa banjir di Kedah.
Pengerusinya, Hanafiah Mat berkata, para sukarelawan itu dijadualkan berbakti selama tiga hari di kawasan Pokok Sena yang paling terjejas akibat banjir mulai hari ini.
Katanya, ini termasuk sumbangan kewangan sebanyak RM50,000 kepada PAS Kedah bagi melancarkan proses bantuan kepada mangsa banjir.
“Saat bencana seperti ini, bantuan tenaga kerja amat diperlukan bagi membersihkan rumah mangsa banjir yang terjejas di samping menyampaikan sumbangan keperluan asas,” ujarnya dipetik portal TRDI.my.
Menurutnya, para sukarelawan akan menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir termasuk membersihkan rumah, membaiki rumah yang rosak dan menukar minyak silinder.
Beliau yang juga Exco kerajaan negeri berkata, pihaknya juga akan membawa barang keperluan asas seperti toto 200 unit, selimut (200 helai) dan bantal (200 biji) yang bernilai RM16,000 bagi keperluan mangsa banjir.
Menurutnya, ia merupakan hasrat Terengganu bagi mengurangkan bebanan kerajaan negeri yang terlibat dalam mendepani musibah banjir yang tidak dijangka itu.
Sementara itu, menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau memberitahu menerima kunjungan daripada Pengarah Khidmat Malaysia Terengganu selepas selesai mesyuarat Exco, semalam. (Foto atas)
Katanya, perbincangan itu mengenai Misi Bantuan Ke Kedah.
“Insya-Allah, esok (hari ini) kami akan ke Kedah. Doakan semoga dipermudahkan segala urusan kami ini ye,” ujarnya yang juga Penolong Setiausaha PAS negeri. – HARAKAHDAILY 26/9/2024