‘Tindakan politik bacul tidak boleh kita biarkan’

Mohd Zarimi Abu Zih
- Advertisement -

KUANTAN: Politik negara kini dilihat semakin dicemari dengan budaya politik bacul yang sinonim dengan kepimpinan kerajaan campuran Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

Menurut Pemuda PAS Pahang, Mohd Zarimi Abu Zih, selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), muncul budaya politik yang semakin tidak sihat, terutamanya dari parti pemerintah.

Katanya, demi kuasa, segala perkara kelihatan halal, termasuk fitnah dan tekanan ke atas pembangkang.

- Advertisement -

“Kebebasan bersuara disekat, dan pembangkang terus dihimpit dari pelbagai sudut.

“Apakah tujuannya? Jawapannya jelas mengekalkan cengkaman kuasa yang semakin goyah,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Beliau turut mengecam tindakan fitnah yang dilemparkan terhadap Ketua Pemuda PAS Malaysia, melibatkan tuduhan qazaf yang turut menyeret ahli keluarganya.

Fitnah itu tular melalui media sosial, dipercayai dimulakan oleh pengguna yang menggunakan nama Mohd Asri Bakar.

“Ini adalah tindakan politik bacul yang tidak boleh kita biarkan menjadi budaya biasa di negara kita, terutamanya di negeri Pahang.

“Politik sebegini bukan sahaja mencemar suasana politik negara, malah menyingkirkan keperluan rakyat,” katanya.

Beliau berkata, kajian Merdeka Center pada tahun 2021 menunjukkan bahawa 70 peratus anak muda menolak politik fitnah dan manipulasi kuasa yang digunakan untuk keuntungan peribadi.

“Generasi muda hari ini menuntut perubahan, mereka mahukan politik yang lebih bersih, telus dan berprinsip,” katanya.

Zarimi turut mengkritik kerajaan PH dan BN yang dilihat lebih sibuk dengan survival politik mereka berbanding menyelesaikan masalah rakyat.

“Kadar inflasi setakat Ogos 2024 adalah 1.9 peratus, namun bebanan kos sara hidup masih menekan kehidupan rakyat biasa, terutamanya golongan muda yang merasakan impak ekonomi ini,” katanya.

Beliau turut yakin bahawa anak muda hari ini, dengan kesedaran yang semakin meningkat, tidak akan mudah terpengaruh dengan permainan politik kotor oleh PH dan BN.

“Sebaliknya, kami berdiri teguh di belakang Ketua Pemuda PAS Malaysia, yang komited dalam mendidik anak muda dengan nilai-nilai politik Islam yang adil dan berintegriti.

“Kami mengajak semua untuk menghentikan budaya tidak sihat ini dan kembali kepada politik matang dan berprinsip.

“Anak muda hari ini adalah masa depan negara kita harus mendidik mereka dengan politik yang berlandaskan fakta, keadilan dan kebenaran,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/9/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!