ALOR SETAR: Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor, dengan penuh hormat dan takzim merafak sembah memohon keampunan terhadap Sultan Selangor.
Permohonan ampun kepada Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj itu di atas kenyataan beliau pada Julai tahun lalu.
Katanya, beliau menyedari bahawa kata-kata itu telah menimbulkan rasa tidak selesa serta mengguris hati dan perasaan Sultan Sharafuddin dan benar-benar kesal atas segala kesan negatif telah timbul daripada itu.
“Patik ingin menyembah maklum bahawa tiada niat di hati patik untuk mempersendakan Tuanku Sultan yang amat patik hormati dan sanjungi selama ini.
“Patik sedar apabila patik hadir ke negeri orang, khususnya berkaitan kes patik di negeri Selangor, patik tidak seharusnya mengeluarkan kata-kata yang tidak beradab, menghina dan tidak sopan.
“Sepertimana yang telah patik perkatakan walaupun ucapan tersebut dibuat ketika suasana kehangatan kempen pilihan raya,” ujar beliau dalam sidang media di Wisma Darul Aman, di sini hari ini.
Beliau mengakui kenyataan pada 11 Julai 2023 di Taman Selayang Mutiara, Gombak itu sepertimana telah dipertuduhkan terhadapnya di mahkamah yang dianggap menghina dan tidak menghormati Sultan Selangor.
Justeru katanya lagi, beliau dengan penuh rasa insaf dan rendah diri, memohon beribu keampunan kepada Sultan Sharafuddin dan juga terhadap Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari serta rakyat Selangor atas segala keterlanjuran kata-kata itu.
“Patik berjanji untuk lebih berhati-hati dalam membuat kenyataan pada masa akan datang dan akan memastikan bahawa setiap ucapan patik adalah selaras dengan adab sopan budaya Melayu kita yang sentiasa menjunjung tinggi Raja-Raja Melayu dan Institusi Raja,” tambah beliau.
Sanusi sebelum ini dihadapkan ke mahkamah atas dua kesalahan iaitu didakwa mengeluarkan kata-kata hasutan berhubung lantikan Menteri Besar Selangor dalam satu ceramah politik pada tahun lalu.
Manakala kedua, beliau berdepan tuduhan mengeluarkan kata-kata menghasut berhubung isu penubuhan Kerajaan Perpaduan dalam satu ceramah politik.
Kedua-dua pertuduhan itu membabitkan ceramahnya Taman Selayang Mutiara, Kampung Bendahara, sekitar 11 malam pada 11 Julai tahun lalu.
Beliau juga didakwa menghina Sultan Selangor ketika membandingkan urusan pelantikan beliau sebagai Menteri Besar Kedah dan Dato’ Seri Amirudin Shari sebagai Menteri Besar Selangor pada ucapan yang sama.
Berhubung kenyataan itu, beliau didakwa menyentuh isu 3R, berkait agama, kaum dan Institusi Diraja. – HARAKAHDAILY 25/9/2024