‘Percayalah DAP tak akan duduk diam’

Roslan Shahir Mohd Shahir
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Yang Dipertua PAS Kawasan Subang, Roslan Shahir Mohd Shahir mempersoalkan kenyataan yang dikeluarkan oleh Ahli Jawatankuasa Pusat DAP, Lee Chin Chen.

Terdahulu, Chin Chen dilaporkan media tempatan telah mendesak Umno Johor supaya meminta Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Akmal Saleh memohon maaf secara terbuka kerana didakwa menyinggung perasaan masyarakat Cina Malaysia.

- Advertisement -

Roslan bagaimanapun mempersoalkan kaitan antara kenyataan Dr Akmal dan perasaan masyarakat Cina.

“Ini isu Dr Akmal singgung Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok yang celupar dalam isu sijil halal JAKIM tempoh hari. 

“Bukan sahaja Dr Akmal malah hampir semua pimpinan politik Melayu Islam dan orang ramai kecewa (kecuali pimpinan PAN). 

“Mengapa Teresa sering sangat beri ulasan dalam isu-isu melibatkan kepentingan orang Islam?,” soal Roslan dalam media sosial miliknya, hari ini.

Namun menurut Roslan, yang disasarkan dan disinggung adalah Teresa bukannya masyarakat Cina seperti dakwaan DAP. 

“Tersinggungkah sebenarnya mereka atau mereka pun tak ambil pusing? Dah ada tak sesuatu yang ditampal di dahi si disinggung?,” soalnya lagi. 

Sebelum itu, menurut Chin Chen, kenyataan Dr Akmal tidak sepatutnya dikeluarkan, terutamanya ketika negara sedang berusaha untuk merapatkan hubungan antara kaum.

“Sekiranya Umno ingin melihat kejayaan dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri yang akan datang, Dr Akmal perlu memohon maaf bagi meredakan ketegangan ini,” kata Chin Chen dalam satu kenyataan yang dilaporkan media tempatan.

Chin Chen juga terdahulu turut menegaskan bahawa kenyataan Dr Akmal telah menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan masyarakat Cina, dan permohonan maaf adalah penting bagi memulihkan keadaan. – HARAKAHDAILY 25/9/2024