KUALA TERENGGANU: Naib Presiden PAS, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar mengakui bahawa Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Mahkota memberi cabaran besar kepada PERIKATAN NASIONAL (PN), namun menegaskan bahawa tiada yang mustahil untuk mencapai kemenangan.
Menurut beliau, walaupun atas kertas majoriti yang diperoleh oleh pemenang sebelum ini amat besar, PN tetap optimis dengan peluang mereka.
“Kita sedar akan situasi itu dan cabarannya memang tidak mudah untuk mencapai kemenangan, tetapi tiada yang mustahil,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Besar Terengganu berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di Majlis Perasmian Sambutan Jubli Emas 50 Tahun Yayasan Islam Terengganu di Dewan Al-Fateh, Menara Yayasan Islam, di sini, hari ini.
Samsuri berkata, jentera PN dari negeri Terengganu telah dihantar untuk membantu menguruskan pusat pengundian yang spesifik di DUN Mahkota.
“Kita ada satu Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang ditugaskan dan jumlah pengundi yang terlibat agak ramai lebih kurang 6,000 orang yang di jaga oleh jentera PN daripada negeri Terengganu,” katanya.
Beliau juga menyifatkan PRK kali ini sebagai cabaran besar tetapi bukan halangan yang tidak boleh diatasi.
“Saya tidak mahu menyebut PN sebagai ‘underdog’, tetapi kita akui cabaran ini sukar cuma kita cuba lah,” katanya.
PRK DUN Mahkota diadakan setelah penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain meninggal dunia pada 2 Ogos lepas sewaktu dirawat di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom akibat pendarahan dalaman.
PN mempertaruhkan tokoh sukan yang juga bekas pemain bola sepak Mohamad Haizan Jaafar, 61, yang lebih dikenali Coach Haizan dalam pertembungan satu lawan satu dengan calon BN, Syed Hussein Syed Abdullah.
Hari mengundi PRK itu ditetapkan 28 September dengan 20 pusat mengundi akan dibuka membabitkan 109 saluran. – HARAKAHDAILY 24/9/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!