KUALA TERENGGANU: Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr. Azman Ibrahim memaklumkan akan ada kejutan besar pada penutup Program Labuh Tukun, 10 Oktober depan.
Menurutnya, program di Marang itu merupakan siri terakhir program melabuhkan tukun di perairan Terengganu.
“Siri terakhir insya-Allah pada 10 Oktober 2024. Acara penutup ini akan ada kejutan besar dan sangat istimewa untuk orang Marang. Nantikan…,” katanya dalam hantaran di laman Facebook beliau, hari ini.
Tambahnya pada 26 September ini, sebanyak 20 unit tukun akan dilabuhkan di perairan Kuala Terengganu dalam siri ke-4 Program Labuh Tukun bagi tahun 2024.
Kata beliau, keadaan laut diramal sedikit bergelora pada tarikh tersebut.
“Doakan semoga dipermudahkan urusan kami semua,” ujarnya yang juga ADUN Jabi.
Menurutnya lagi, agak mencabar untuk mengendalikan tongkang yang menampung 20 unit tukun seberat 17 tan bagi setiap unit.
Ini, ujar beliau ditambah lagi dengan muatan kren seberat kira-kira 50 tan di tengah laut bergelora.
Sebelum ini, beliau memberitahu, tahun 2024 mencatatkan rekod terbesar jumlah tukun yang dilabuhkan dalam setahun iaitu sebanyak 100 unit.
Ini, jelasnya melalui beberapa siri program labuh tukun melibatkan daerah Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Marang dan Dungun.
Untuk rekod, pendaratan ikan marin mencatatkan peningkatan sebanyak 39 peratus bagi tahun 2023 berbanding tahun sebelumnya dengan jumlah pendaratan sebanyak 46,643.45 tan metrik yang dianggarkan bernilai RM533 juta.

Tukun ada dua tujuan iaitu konservasi dan rekreasi.
Tukun konservasi maknanya tukun untuk tujuan pembiakan ikan yang dilabuhkan di kawasan larangan menangkap ikan seperti taman laut agar ikan boleh membiak tanpa diganggu.
Ikan yang membiak di kawasan taman laut ini akan keluar ke laut lepas menjadi rezeki para nelayan.
Manfaat diperolehi nelayan secara tidak langsung walaupun tidak boleh memancing di kawasan tukun.
Tukun rekreasi pula dilabuhkan dalam zon tangkapan nelayan pantai.
Para nelayan boleh pergi menangkap ikan bila-bila masa di kawasan tukun tersebut. – HARAKAHDAILY 24/9/2024