Masalah air: Warga Sungai Bakap dianaktirikan?

Kerajaan Pulau Pinang gagal tunai janji pilihan raya

- Advertisement -

NIBONG TEBAL: Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang berjanji mahu menyelesaikan masalah air dihadapi penduduk, hanya semata-mata memancing sokongan undi dalam PRK N.20 DUN Sungai Bakap pada Jun lalu.

- Advertisement -

Sepertimana sudah dijangka, krisis air yang telah sedia dihadapi sejak enam tahun lalu semakin memburuk, malah tidak berubah juga sejak PRK tersebut hingga memaksa air hujan ditadah untuk kegunaan harian para penduduk di Mukim 5, Sungai Bakap, di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Masalah Air Mukim 5, Khairul Ahmad Fitri Suhaimi berkata, masalah terkini telah berlarutan selama lima hari, di mana bekalan air hanya datang dalam tempoh yang sangat singkat setiap hari.

“Air hanya datang sekitar jam 1 pagi dan hilang kembali pada jam 6 pagi. Tangki pun tidak sempat penuh,” jelas Khairul ketika menghubungi Harakahdaily hari ini.

Penduduk sebelum ini telah beberapa kali menggesa kerajaan negeri supaya menerima tawaran Kedah untuk membeli lebihan air daripada Loji Rawatan Air Lubuk Buntar sebagai langkah menyokong keperluan di selatan negeri ini.

Namun begitu ujarnya, bukan sahaja ditolak, malah sehingga kini tiada penyelesaian konkrit dilaksanakan, sedangkan penduduk berdepan gangguan bekalan air yang berterusan, tidak kira dalam musim kemarau mahupun banjir.

Para penduduk beritahunya, kini tertanya-tanya alasan baharu bakal diberikan oleh pihak Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) selaku pengendali kepada perkara itu terhadap krisis air yang semakin kritikal ini.

Menurut Khairul, ADUN Sungai Bakap, Abidin Ismail, sebelum ini telah menggesa pihak berwajib menghantar bekalan air ke kawasan terjejas, namun jumlah dihantar masih tidak mencukupi untuk menampung keperluan penduduk.

Beliau mempersoalkan kesungguhan dan tindakan sebenar pihak kerajaan yang mengatasi isu di kawasan tertentu, tetapi dilihat tidak memberi perhatian kepada masalah dihadapi oleh penduduk Mukim 5 secara sewajarnya.

“Kami tidak berpuas hati kerana masalah ini tidak diberi perhatian, sedangkan kami sudah lima hari tiada air,” tambah Khairul.

Beliau turut menjelaskan bahawa mereka dimaklumkan mengenai paip pecah di kawasan Politeknik Seberang Perai, namun sehingga kini, masih tiada tindakan yang diambil untuk menyelesaikan isu tersebut. – HARAKAHDAILY 24/9/2024