Isu gambar Presiden PAS: Pemecatan Pegawai JAIM tak munasabah

Tuan Ibrahim Tuan Man
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tindakan Kerajaan Negeri Melaka memecat dan menukar pegawai Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) kerana memaparkan wajah Presiden PAS dalam paparan slaid khutbah Jumaat adalah amat dikesali.

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tindakan itu menggambarkan ketakutan Kerajaan Negeri Melaka dengan kebangkitan PAS dan ianya dilihat tidak munasabah.  

- Advertisement -

“Malahan ia bukanlah satu kesalahan besar jika diteliti apabila para pegawai itu memaparkan imej pemimpin politik yang tepat dan bersesuaian dengan ayat berbunyi: ‘Keamanan dan kemajuan negara hendaklah dipertahankan, dan memerlukan pemimpin yang adil dan jujur, masyarakat yang harmoni, rakyat yang berdisiplin dan berbudi mulia’.

“Jikalau paparan pemimpin yang korup, pernah dituduh rasuah atau mempunyai kes jenayah, itu sebenarnya yang salah,” ujar beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, tindakan itu dijadikan kesalahan kerana gambar itu adalah Presiden PAS, namun sekiranya ia Presiden parti lain yang bersama kerajaan, pasti tidak menjadi kesalahan dan akan dipertahankan.

Apa pun, Tuan Ibrahim mengharapkan pegawai yang dikenakan tindakan tersebut bersabar di atas mehnah yang menimpa mereka. 

“Anda tidak melakukan satu dosa besar seperti mana ramai pelaku salah seperti  perasuah, salahguna kuasa dan pelbagai maksiat yang tidak rasa berdosa dan menyesal, bahkan terus gembira meneruskan kehidupan mereka.

“Teruskan laksanakan amanah ilmu dengan baik dan sempurna. Sabar dalam mentaati perintah Allah lebih baik daripada hidup yang menderhakai dan berbuat maksiat kepada-Nya,” kata beliau. 

Terdahulu, empat pegawai Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dikenakan tindakan tatatertib setelah insiden paparan gambar Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, dalam slaid khutbah Jumaat. 

Gambar beliau muncul pada infografik khutbah di masjid, bersama dengan paparan wajah Yang di-Pertuan Agong ke-16, namun tidak ditukar dengan gambar Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Melaka, Datuk Rahmad Mariman, menyatakan bahawa tindakan disiplin diambil terhadap pegawai-pegawai tersebut, termasuk pertukaran tempat bertugas dan pemecatan, kerana kecuaian dalam tugas mereka. 

Empat pegawai tersebut bertanggungjawab dalam Bahagian Pengurusan Masjid JAIM, dan tindakan mereka telah mencetuskan kontroversi dalam pentadbiran jabatan tersebut.

Langkah itu dikritik oleh PAS Melaka, yang menyifatkan tindakan tersebut sebagai zalim dan melampaui batas terhadap pegawai yang terlibat. – HARAKAHDAILY 24/9/2024