AYER KEROH: Tindakan empat orang pegawai Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) memaparkan gambar Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pada slide khutbah Jumaat adalah untuk memberi contoh kepada isi khutbah disampaikan.
Ketua Pembangkang DUN Melaka, Dr Mohd Yadzil Yaakub berkata, khutbah disampaikan adalah berbentuk nasihat kepada semua jemaah solat Jumaat yang hadir dan penyampaian khutbah adalah berkaitan perkara dan contoh baik.
“Pihak kerajaan tidak sepatutnya melihat gambar Tan Sri Abdul Hadi Awang sebagai ahli politik pembangkang.
“Pihak JAIM (dilihat) cuba memaparkan pemimpin yang boleh dijadikan contoh kepada jemaah berkait dengan apa yang disampaikan dalam khutbah,” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional Melaka itu berkata,
jika tidak ada lagi sesuai dijadikan contoh dalam kerajaan, maka mereka terpaksa mengambil contoh baik dari pihak lain.
“Ini tindakan jujur yang tidak boleh diterima oleh kerajaan. Siapa lagi yang patut dijadikan contoh? Sahlah bukan Perdana Menteri sekarang yang secara rekod paling dibenci rakyat.
“Jauh sangat nak dibandingkan dengan Tan Sri Abdul Hadi Awang yang merupakan mantan Naib Ketua Kesatuan Ulama Sedunia,” katanya dalam satu kenyataan dimuat naik di laman Facebook rasmi beliau sebentar tadi.
Tambah Dr Yadzil, sebagai sebuah kerajaan negeri yang dipimpin orang Islam, sepatutnya harus mempertahankan dan memberi sokongan kepada institusi agama untuk menjalankan amanah dengan baik bukan menekan mereka dengan alasan politik.
Berkaitan dengan empat pegawai JAIM terlibat telah diambil tindakan termasuk ada yang dipecat, Dr Yadzil menyifatkan tindakan pemecatan tersebut sebagai kejam dan melampau.
“Tindakan melampau ini jelas menunjukkan pihak kerajaan mempolitikkan agama sehingga isu khutbah yang tidak lari dari konteks Islam.
“Namun kerana hanya sekeping gambar tokoh Islam yang kebetulan adalah pemimpin pembangkang, telah dijadikan alasan untuk diambil tindakan,” katanya.
Menurut beliau lagi, umum mengetahui bahawa masjid adalah rumah Allah yang menjadi tempat kepada semua umat Islam berkumpul dan beribadat.
“Tidak kira darjat atau fahaman politik, masjid menjadi tempat penyatuan ummah. Tidak sewajarnya semua yang berkaitan dengan masjid dikaitkan dengan politik,” katanya.
Media sebelum itu melaporkan bahawa Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, empat orang pegawai yang terlibat dalam kejadian itu menghadapi tindakan sama ada melibatkan pemecatan atau penukaran jawatan.
Menurut laporan itu, Rahmad dalam alasannya berkata kejadian berkenaan menimbulkan keresahan serta rungutan awam sehingga boleh menjejaskan keharmonian masyarakat Islam di negeri Melaka. – HARAKAHDAILY 24/9/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!