Kelantan giat buat persiapan anjur Sukma

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kelantan sedang giat melakukan persiapan bagi menganjur Sukan Malaysia (Sukma) buat pertama sekali dalam sejarah sejak penganjuran sukan tersebut pada 1986.

Exco Belia, Sukan, NGO Dan Perpaduan Masyarakat negeri, Zamakhshari Muhammad berkata, pembinaan Kompleks Sukan Bukit Merbau di Pasir Puteh berjalan seperti dirancang.

Bagaimanapun katanya, kontraktor berhadapan dengan batu hampar yang menjejaskan sedikit kerja-kerja membabitkan tanah.

- Advertisement -

“Kita mengalami sedikit kelewatan dari segi persiapan tapak disebabkan masalah batu hampar terpaksa dipecahkan dahulu, perkembangan sepatutnya Ogos lepas 75 peratus.

“Kerja-kerja tanah sehingga kini dianggar siap 69 peratus,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Insentif Sukma XXI Sarawak 2024 di sebuah hotel di sini hari ini. (Foto atas)

Penyampaian penghargaan disempurnakan Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud. Insentif tersebut melibatkan peruntukan sebanyak RM251,000.

Zamakhshari juga berkata, kerajaan menyasarkan Madinah Riyadah itu disiapkan menjelang setahun sebelum Kelantan menjadi tuan rumah Sukma edisi ke-23 selepas Selangor pada 2026.

Pada Sukma di Sarawak baru-baru ini atlet Kelantan memperolehi 37 pingat iaitu tujuh pingat emas, 13 perak dan 17 gangsa. – HARAKAHDAILY 23/9/2024