KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Parit Buntar, Mohd Misbahul Munir Masduki, menyuarakan kekecewaannya terhadap kandungan Memorandum Persefahaman (MoU) yang dikemukakan oleh kerajaan kepada ahli parlimen pembangkang, yang disifatkannya sebagai satu bentuk sekatan terhadap kebebasan bersuara.
Menurut beliau, meskipun MoU tersebut menawarkan peruntukan yang boleh digunakan untuk membantu rakyat, kandungannya yang menyekat hak pembangkang untuk bersuara di parlimen membawa lebih banyak mudarat daripada manfaat.
“MoU ini mengenakan sekatan yang menafikan kebebasan kita untuk membantah. Contohnya, jika kerajaan membentangkan bajet atau rang undang-undang yang tidak adil atau menjejaskan hak rakyat, kita tidak boleh membangkang kerana MoU memaksa kita untuk menyokong tanpa soal.
“Sebab itulah Ahli Parlimen PKR Johor, Hassan Karim pun tidak setuju sebab menyekat hak kebebasan bersuara, demokrasi, peruntukan yang sedia ada dalam perlembagaan,” katanya.
Beliau juga menegaskan bahawa peruntukan kepada ahli parlimen bukanlah untuk kepentingan peribadi, sebaliknya ia adalah instrumen penting untuk membantu rakyat.
“Peruntukan ini bukan untuk kepentingan ahli parlimen. Ahli parlimen sudah ada gaji, tiap-tiap bulan terima gaji.
“Kita gunakan untuk membantu rakyat ditimpa musibah dan sebagainya. Sebab itu peruntukan sangat penting,” katanya dalam satu hantaran video di laman Facebook Muafakat Nasional.
Misbahul Munir juga mengkritik kerajaan kerana gagal menunaikan janji yang dibuat dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya 2018 dan 2022, yang menjanjikan pemberian peruntukan secara sama rata kepada semua ahli parlimen, termasuk dari blok pembangkang.
“Dalam manifesto PH sejak 2018 dan sekali lagi pada 2022, janji untuk memberi peruntukan sama rata kepada semua ahli parlimen, tidak kira kerajaan atau pembangkang. Namun, setelah PH membentuk kerajaan, mengapa janji ini tidak dilaksanakan?” soal beliau.
Kata beliau, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini juga menyatakan di parlimen bahawa peruntukan akan disalurkan kepada semua ahli parlimen tanpa syarat, namun kini kerajaan menuntut pembangkang untuk menandatangani MoU yang mengandungi syarat-syarat tertentu.
“Jawapan di parlimen PMX menyebut berunding, bincang untuk nak buat peruntukan tanpa syarat, tak ada syarat pun.
“Jadi ketua whip, ketua pembangkang jumpa timbalan perdana menteri untuk nak berbincangkan bagaimana saluran peruntukan diberikan kepada pembangkang. Dia kata kena ada MoU, dulu kata tidak ada syarat, tapi tak mengapa, kita tunggu apa kandungan MoU kepada pembangkang.
“Ketika hampir dua tahun barulah MoU itu dikemukakan dan pada hari kita dibentangkan MoU tak sempat baca habis seluruh ahli parlimen pembangkang PERIKATAN NASIONAL (PN) tolak kandungan MoU,” katanya.
Beliau memberi contoh beberapa isu kritikal yang mungkin tidak boleh dibangkitkan oleh ahli parlimen pembangkang sekiranya mereka menandatangani MoU tersebut, termasuk isu kepentingan orang Melayu, hak Islam, dan kebebasan bersuara yang melibatkan isu 3R (race, religion, royalty).
“Contoh kalau kita nak bercakap tentang kepentingan orang melayu dan hak orang melayu, kita akan bayangkan kalau orang melayu tidak bersatu menyebabkan nanti akan dikuasai oleh orang lain, menyebabkan kepentingan orang Melayu terhakis, kuota untuk masuk universiti IPT dan sebagainya terhakis, dan lain-lain.
”Kita nak bersuara tidak boleh sebab sudah terikat dengan MoU sedangkan itu melibatkan kepentingan orang rakyat dan orang awam terutama melayu Islam.
“Apabila agama Islam dipertikai, dipersoal tentang sijil halal, kebebasan, kita bimbang bila bebas tanpa ada sekatan bimbang nanti orang Islam dipaksa murtad ataupun pilih agama lain, kita tidak boleh ambil tindakan ke atas orang Islam yang murtad atas alasan kebebasan, nak bersuara tidak boleh sebab dalam kandungan MoU tak boleh ini hak kebebasan, hak sama rata, hak itu hak ini dan sebagainya,” katanya.
Beliau turut menekankan kebimbangan bahawa sekiranya MoU ini diterima, ia akan menafikan hak ahli parlimen untuk membantah rang undang-undang yang mungkin merugikan kepentingan rakyat, termasuk isu persempadanan semula dan cadangan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT).
Misbahul yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat berkata, ahli parlimen pembangkang bukannya menolak peruntukan, tetapi menolak syarat-syarat yang dikenakan melalui MoU tersebut.
Menurut beliau, sekiranya kerajaan benar-benar mahu memberi peruntukan, ia sepatutnya dilakukan tanpa syarat yang mengikat kebebasan bersuara ahli parlimen.
“Jika kerajaan betul-betul mahu membantu rakyat, beri sahaja peruntukan, tanpa mengenakan syarat yang menyusahkan.
“Separuh daripada peruntukan yang diterima oleh ahli parlimen kerajaan pun sudah cukup bagi kita untuk membantu rakyat yang memerlukan,” katanya.
Beliau juga menjelaskan bahawa walaupun ahli parlimen pembangkang tidak menerima peruntukan yang setara, mereka masih terus berusaha membantu rakyat dengan menggunakan sebahagian besar daripada gaji dan elaun mereka untuk sumbangan kepada mereka yang memerlukan.
“Sungguhpun tanpa peruntukan, kita masih membantu rakyat dengan duit gaji dan elaun kita sendiri.
“Hampir 50 hingga 60 peratus daripada gaji kita disalurkan kepada rakyat yang memerlukan, terutama ketika bencana atau musibah berlaku,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 22/9/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!